BM | EN | 中文

Kastam Johor rampas air zamzam, rokok seludup

Kastam-Johor-rampas-air-zamzam-rokok-seludup.jpeg

Sazali Mohamad (dua dari kiri) menunjukkan sebahagian daripada 600 botol air zamzam yang dirampas pada sidang akhbar di Menara Kastam di Johor Bahru, Johor (Gambar Ehsan Utusan Online)

JOHOR BAHRU, 9 JAN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor menggagalkan cubaan menyeludup keluar 600 botol air zamzam seberat 3,000 liter di Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah pada penghujung tahun lalu.

Pengarahnya, Sazali Mohamad berkata, air zamzam yang dianggarkan bernilai RM66,000 itu dikesan di laluan keluar Cawangan Eksport KSAB ketika dalam perjalanan menuju ke Singapura pada pukul 3.45 petang.

Katanya, dalam serbuan berkenaan pihaknya turut menahan dua lelaki warganegara tempatan berusia 21 dan 30 tahun yang merupakan pemandu dan kelindan lori.

“Siasatan dibuat mendapati air zamzam itu disimpan di dalam lori yang turut membawa bersama barangan dagangan lain seperti peralatan mandian, minyak urut, peralatan sembahyang yang telah diikrar.

“Kami telah menghantar sampel air zamzam yang dirampas itu ke Jabatan Kimia untuk disahkan ketulenannya pada 2 Januari lalu, namun sehingga kini masih belum mendapat keputusan,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JKDM Johor, di sini hari ini.

Terdahulu Sazali dilaporkan Utusan Online berkata sekiranya air zamzam tersebut tulen, ia akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan untuk tindakan lanjut.

“Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967 kerana membuat pengikraran tidak benar dan terlibat dalam pengelakan fraudan.

“Memang kita maklum terdapat permintaan air zamzam di negara jiran namun sama ada Singapura atau terdapat negara lain yang akan menjadi destinasi akhir masih dalam siasatan,” katanya.

Sementara itu, Sazali turut memberitahu pihaknya juga merampas 7.9 juta batang rokok tidak bercukai dalam satu serbuan yang dijalankan di Bay Kontena, Pelabuhan Pasir Gudang pada pukul 11.45 pagi, 28 Disember lalu.

“Seorang lelaki warganegara tempatan berusia 43 tahun yang bertugas dengan syarikat perkapalan yang membawa barangan berkenaan turut ditahan untuk membantu siasatan.

“Nilai rokok yang dirampas adalah sebanyak RM3.168 juta manakala duti dan cukai yang terlibat berjumlah RM5.54 juta,” jelasnya sambil memaklumkan rokok berkenaan dibawa masuk dari China.

Tambah beliau, modus operandi digunakan sindiket ini adalah dengan mengikrar rokok berkenaan sebagai barangan kabinet di dalam borang Kastam bertujuan mengelak dikenakan cukai tinggi dan permit import.

“Kes ini disiasat dibawah Peraturan-Peraturan 30(1) Peraturan-Peraturan Zon Bebas (Pindaan 2019), Seksyen 133(1)(a) dan Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967,” katanya.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top