BM | EN | 中文

Kastam Johor patahkan cubaan seludup rokok bernilai lebih RM17 juta

IMG-20200602-WA0000.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 2 JUN: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor berjaya mematahkan dua cubaan penyeludupan rokok ke negara ini bernilai RM17.745 juta termasuk cukai di Pelabuhan Johor, Pasir Gudang baru-baru ini.

Penolong Ketua Pengarah JKDM Bahagian Penguatkuasaan, Datuk Johari Alifiah berkata, rampasan pertama pada 18 Mei lalu melibatkan rampasan rokok bernilai RM2.205 juta dan cukai sebanyak RM6 juta.

“Pada jam 12 tengah hari 18 Mei lalu, sepasukan anggota menahan dan memeriksa sebuah kontena berukuran 40 kaki yang diikrarkan sebagai klip hos besi tahan karat.

Advertisement

“Hasil pemeriksaan mendapati kontena tersebut mengandungi rokok pelbagai jenama sebanyak 44,810 karton atau 8.757 juta batang,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan di Kompleks Penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai, di sini hari ini.

Sementara itu, rampasan kedua dibuat pada jam 10.50 pagi, keesokan harinya iaitu pada 19 Mei membabitkan rampasan rokok bernilai RM1.48 juta serta cukai sebanyak RM8.05 juta.

Advertisement

“Pemeriksaan dijalankan ke atas sebuah kontena berukuran 40 kaki yang didaftarkan sebagai buangan aluminium dari luar negara.

“Hasil pemeriksaan mendapati kontena itu diisi penuh dengan rokok sebanyak 53,000 karton atau 10.6 juta batang,” ujarnya.

Tambah beliau, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.

Advertisement

Sementara itu, Johari turut memaklumkan kejayaan pihaknya mematahkan cubaan menyeludup keluar dadah bernilai lebih RM47,000 menerusi dua pemeriksaan masing-masing pada 11 Mei dan 28 Mei.

Kedua-dua kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top