BM | EN | 中文

Kastam Johor kesan taktik baru seludup rokok dalam kepingan pintu

Kastam-Johor-kesan-taktik-baru-seludup-rokok-dalam-kepingan-pintu.jpg

Kastam Johor kesan taktik baru seludup rokok dalam kepingan pintu (Gambar Ehsan FB KKDM)

Advertisement

JOHOR BAHRU, 5 NOV: Menyembunyikan rokok putih di dalam kepingan pintu yang ditutupi lapisan kayu merupakan antara taktik terbaharu dan pertama dilakukan sindiket penyeludupan rokok dikesan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Johor.

Pengarah JKDM Johor Sazali Mohamad berkata taktik berkenaan dikesan menerusi serbuan Op Benteng 2020 di sebuah premis syarikat penghantaran di Jalan Kempas Lama, di sini pada 21 Okt lepas.

“Atas maklumat pasukan risikan selatan, sepasukan anggota penguatkuasa Kastam Sungai Pulai telah membuat serbuan ke atas premis berkenaan dan pihaknya menemukan 620 karton rokok yang disorokkan pada 10 keping pintu yang memuatkan 124,000 batang rokok putih dalam serbuan pukul 4.30 petang.

Advertisement

“Setiap pintu boleh memuatkan 62 karton bersamaan 12,400 batang rokok membabitkan anggaran nilai keseluruhan sebanyak RM49,600 serta anggaran nilai duti sebanyak RM86,000,” katanya pada sidang media di Menara Kastam di sini, hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan berasingan, beliau berkata pihaknya turut berjaya menggagalkan cubaan menyeludup rokok putih dan rokok keretek pelbagai jenama bernilai lebih RM150,000 serta dengan nilai cukai berjumlah RM580,272, dalam serbuan di Senai dekat Kulai, Sabtu lepas.

Sazali berkata serbuan dilakukan anggota penguatkuasaan Kastam Sungai Pulai hasil maklumat orang awam di Taman Ekoperniagaan 2, Senai Airport City dekat Senai kira-kira 8 pagi, menemukan 150 karton bersamaan 856,000 batang rokok.

Advertisement

Katanya, pihaknya percaya kedua-dua kes penyeludupan rokok berkenaan adalah untuk dihantar ke negara jiran.

“Dalam kes ini, tiada sebarang tangkapan terhadap individu dilakukan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top