BM | EN | 中文

Kartel daging: Syarikat, pengarah dan pengurus dituduh lagi

Kartel-daging-Syarikat-pengarah-dan-pengurus-dituduh-lagi.jpg

DITUDUH: Sebuah syarikat pembekal makanan sejuk beku LY Frozen Food Sdn Bhd bersama pengarahnya Yong (kanan) dan pengurusnya Chong mengaku tidak bersalah atas dakwaan empat pertuduhan masing-masing bersabit kesalahan bersubahat dan memiliki barangan dilarang diimport bernilai RM643,465.39 pada 15 Disember 2020. — Gambar Ehsan Bernama

Advertisement

JOHOR BAHRU, 23 APR: Sebuah syarikat pembekal makanan sejuk beku serta pengarah dan pengurusnya yang sebelum ini dituduh menggunakan perihal dagangan palsu dalam kes sindiket kartel daging sejuk beku import, sekali lagi didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, semalam.

Mereka didakwa atas empat pertuduhan bersabit kesalahan bersubahat dan memiliki barangan dilarang import bernilai RM643,465.39 pada Disember 2020.

Bagaimanapun, tertuduh Yong Chee Keong, 40, yang merupakan Pengarah LY Frozen Food Sdn Bhd mengaku tidak bersalah apabila semua pertuduhan ke atasnya dibacakan secara serentak bersama-sama pertuduhan ke atas syarikat, di hadapan Hakim Wan Mohd Nor Hisham Wan Yaakob.

Advertisement

Mengikut kertas pertuduhan, Yong yang mewakili syarikat dan dirinya didakwa dengan empat pertuduhan memiliki barang-barang larangan berjumlah RM643,465.39 bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas iaitu Tan Siew Huak, 42.

Sementara itu, pengurus syarikat tersebut Chong Kim Kuang, 48, juga me-ngaku tidak bersalah atas empat pertuduhan bersubahat dengan syarikat LY Frozen Food, Yong dan Tan selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman di kamar berasingan.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa melakukan semua kesalahan berkenaan di sebuah premis beralamat No. 663, Jalan 3/4, Kawasan Perindustrian Desa Idaman, Senai di Kulai pada 15 Disember 2020.

Advertisement

Mereka didakwa menurut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1966 yang memperuntukkan denda tidak kurang 10 kali ganda dan tidak lebih daripada 20 kali ganda nilai atau dipenjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya.

Mahkamah menetapkan jaminan berjumlah RM100,000 ke atas Yong dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran dua kali sebulan, sementara Chong pula dibenarkan ikat jamin RM60,000 dengan dua penjamin berserta syarat tambahan yang sama.

Mahkamah turut menetapkan 3 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes untuk serahan dokumen.

Advertisement

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jasmee Hameeza Jaafar dan Nur Suriati Mohamad manakala syarikat, Yong dan Chong diwakili barisan peguam Zamri Idrus, Ridzuan Othman dan Saifuz Zaman Abd Rahman.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top