BM | EN | 中文

Kartel daging: Empat pegawai Maqis, pemilik syarikat logistik dihadap ke mahkamah Johor Bahru

4-pegawai-Maqis-pemilik-syarikat-logistik-mengaku-tak-bersalah.png
Advertisement

JOHOR BAHRU, 23 MEI: Empat penolong pegawai penguat kuasa Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) dan seorang pemilik syarikat logistik dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru hari ini atas tuduhan rasuah dan mengemukakan butiran palsu berhubung kes kartel daging.

Petugas Maqis Mohd Hafizan Khalid, 44 dan Nor Azlan Mat Suki, 40, serta pemilik syarikat Abdul Latif A Rahman, 55, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan hakim Ahmad Kamal Arifin Ismail.

Dua lagi kakitangan Maqis – Mohammad Sofyan Mohd Zin, 27, dan Khairul Izat Sulaiman mengaku bersalah, masing-masing atas satu pertuduhan.

Advertisement

Mohd Hafizan didakwa menerima suapan wang tunai RM2,500 daripada seorang individu sebagai upah untuk melepaskan kontena yang membawa daging sejuk beku milik Syarikat ZS Armin Sdn Bhd dari negara yang tidak diiktiraf Jabatan Veterinar, di sebuah restoran di Johor Bahru pada Disember 2016.

Nor Azlan menghadapi lima pertuduhan menerima suapan bernilai RM37,000 berhubung perkara sama juga di sebuah restoran di situ, antara Februari hingga April 2017.

Kedua-dua mereka didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, yang mana jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Advertisement

Abdul Latif pula didakwa atas dua pertuduhan mengemukakan dokumen yang mempunyai butiran palsu pada 5 Okt 2020 dan 9 Nov 2020 bertujuan mengelirukan pihak berkuasa.

Pertuduhan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(2), yang jika sabit kesalahan boleh dipenjarakan tidak melebihi 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai butir matan yang palsu atau silap atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi.

Abdul Latif juga menghadapi dua pertuduhan pilihan iaitu mengemukakan dokumen palsu pada 5 Okt 2020 dan 9 Nov 2020 mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga dua tahun, atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Advertisement

Bagi Mohammad Sofyan dan Khairul Izat, mereka masing-masing dituduh menerima wang suapan sebanyak RM30 dan RM100 pada 5 Okt 2020 dan 10 Nov 2020 bagi mempercepatkan proses pemeriksaan dokumen dan fizikal konsainan, yang mana mereka gagal melaporkan pemberian penyogokan kepada SPRM.

Pertuduhan di bawah Seksyen 25(1) Akta SPRM dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(2) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

Mohd Hafizan yang diwakili peguam Mohd Razak Sharif manakala Nor Azlan yang diwakili peguam Peter Tan, masing-masing dibenarkan diikat jamin sebanyak RM7,000 seorang dengan seorang penjamin.

Advertisement

Abdul Latif yang diwakili peguam S Vijaya dibenarkan ikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin serta pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.

Sementara itu, mahkamah mengarahkan Mohammad Sofyan melantik peguam serta membenarkannya diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin.

Kes Mohd Hafizan, Nor Azlan, Abdul Latif dan Mohammad Sofyan akan disebut semula pada 29 Jun depan manakala untuk kes Khairul Izat yang diwakili peguam, mahkamah akan menjatuhkan hukuman pada petang ini.

Advertisement

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Suhaili Sapun.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top