JOHOR BAHRU, 23 OGOS: Kira-kira sebulan menjelang Piala Dunia Ragbi Jepun 2019, para peminat ragbi temptan akan dihidangkan dengan aksi-aksi menarik di Karnival Ragbi Johor 2019 yang akan berlangsung dari 24 hingga 25 Ogos di Kompleks Sukan EduCity, Iskandar Puteri
Memasuki edisi yang ke-10, Kesatuan Ragbi Johor yang bertindak selaku penganjur turut mendapat sokongan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Johor, Kesatuan Ragbi Malaysia (KRM) dan Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) bagi menjadikan karnival ini sebagai pentas untuk mempromosi dan menyokong pembangunan ragbi, khususnya di Johor.
Untuk edisi tahun ini, tiga kategori lelaki akan diperkenalkan mengikut peringkat umur iaitu – Piala Iskandar Investment Bhd (B-16), Piala Datuk Bandar MBIP (B-14) dan Piala Milo (B-11) sementara untuk kategori perempuan pula, mereka akan bertarung untuk merebut Piala Iskandar Investment Bhd (B-16).
Antara pasukan yang bakal berentap di Karnival Ragbi Johor 2019 adalah Sekolah Sukan Negeri Tun Hussein Onn (Johor), SMK Sains Hulu Selangor (Selangor), KL Saracens (Selangor), Maktab Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Sekolah Sri Mersing (Johor), Akademi Ragbi Terengganu (Terengganu), Maktab Tentera Diraja (KL), SMK Sains Selangor (KL) dan Akademi Ragbi Selangor (Selangor).
Sementara itu, Kejohanan Ragbi 7s Majlis Kebajikan dan Sukan Anggota-Anggota Kerajaan (MAKSAK) akan turut dijalankan bermula pada 22 hingga 25 Ogos di venue yang sama.
Presiden Kesatuan Ragbi Johor, Datuk Noorazam Osman juga teruja melihat karnival ini berkembang dari sebuah kejohanan ragbi tempatan yang kini menjadi satu kejohanan bertaraf antarabangsa.
Beliau turut menegaskan kepentingan penganjuran kejohanan seperti ini untuk perkembangan sukan ragbi untuk negara ini.
“Karnival ragbi ini adalah yang terbesar di Malaysia dan ia akan membantu dari segi pembangunan sukan ragbi di negara kita,” kata Noorazam.
“Sekiranya kita ingin berjaya di peringkat antarabangsa, kita amat memerlukan kelompok pemain yang besar untuk kitamelatih mereka.
“Jadi, kejohanan seperti ini adalah amat sesuai untuk mereka mempamerkan bakat yang dimilikidan ianya tidak mustahil untuk kita melahirkan pemain-pemain yang berkualiti kelak,” katanya lagi.
Bintang All Blacks turut serta
Bagi memeriahkan lagi Karnival Ragbi Johor 2019, bekas kapten pasukan ragbi 7s All Blacks, Rodney So’oialo akan membuat penampilan istimewa di sekitar negeri Johor dan berkongsi pengetahuan serta pengalaman luasnya khususnya kepada para peminat sukan ragbi.
So’oialo yang pernah membuat pernampilan sebanyak 62 kali bersama pasukan New Zealand akan meluangkan masa bersama dengan pasukan-pasukan yang bertanding selain sesi ramah mesra dan klinik kejurulatihan untuk pasukan ragbi negeri Johor sebagai persiapan menjelang Sukma 2020, Piala Agong dan MSSM.
Karnival Ragbi Johor 2019 juga turut mendapat sokongan daripada Iskandar Investment Berhad, Ranhill SAJ, Nestle-MILO, Johor Corporation (JCORP), Sports Johor Sdn Bhd, ATF Sport Taping, Educity Berhad, KPJ Healthcare (M) Sdn Bhd dan Rugger District.
Johorkini