KOTA TINGGI, 16 FEB: Maritim Malaysia, Zon Maritim Tanjung Sedili (ZMTS) telah menahan sebuah kapal pengangkut kerana berlabuh tanpa kebenaran di Perairan Tompok Utara, Pantai Timur Johor, petang semalam.
Pengarah ZMTS, Kepten Maritim Mohd Zulfadli Nayan berkata, kapal yang berdaftar di Jeju, Korea Selatan itu ditahan pada jam 4.11 petang di kedudukan 6.5 batu nautika Timur Laut Tanjung Penawar.
Katanya, kapal itu ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang kebenaran bersauh dalam perairan Malaysia.
“Kapal sepanjang 333 meter itu dikendalikan oleh 22 kru termasuk Nakhoda berusia antara 42 hingga 58 tahun melibatkan warganegara Filpina dan Korea Selatan,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Tambah Mohd Zulfadli lagi, kapal tersebut disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952, Seksyen 491B(1)(l) iaitu berlabuh tanpa kebenaran Pengarah Laut Malaysia.
“Jika didapati bersalah boleh didenda tidak melebihi RM100 ribu atau penjara tidak melebihi 2 tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
Susulan kejadian ini, Maritim Malaysia mengingatkan bahawa Perairan Permatang Timur, Beting Ramunia dan Tompok Utara berada dalam Perairan Wilayah Malaysia dan bukannya perairan antarabangsa walaupun jaraknya melebihi 12 batu nautika daripada daratan terdekat.
Johorkini