JOHOR BAHRU, 15 JUL: Turun naik mahkamah tidak sedikit pun melunturkan semangat Persatuan Alam Warisan Bukit Payung untuk terus mempertahankan tanah mereka daripada dijadikan tapak pelupusan sampah.
Wakil Persatuan Alam Warisan Bukit Payung, Eli@Abu Bakar Azmi berkata, selepas hampir 10 tahun berjuang, apa yang dilakukan oleh beliau dan NGO adalah demi masa depan dan nasib penduduk di kawasan itu.
“Bagi kami perkara ini hanya biasa walaupun hakikatnya luar biasa. Kami tidak akan berganjak seinci pun ke belakang,” katanya kepada Johorkini.
Dalam masa yang sama katanya, sokongan dan simpati daripada rakan-rakan dan pertubuhan-pertubuhan alam sekitar daripada seluruh negara membuatkan beliau dan rakan-rakan bersemangat dan mempunyai motivasi untuk meneruskan perjuangan mereka.
“Kami perlukan doa dan sokongan anda,” kata Abu Bakar lagi.
Terdahulu pagi ini, mahkamah Tinggi Johor Bahru mendengar permohonan semakan kehakiman yang difailkan Persatuan Alam Warisan Bukit Payung bagi menghentikan kerja-kerja pembinaan tapak sisa pepejal di kawasan itu.
Dalam permohohan yang dilihat Johorkini, Persatuan Alam Warisan Bukit Payung memohon suatu perintah certiorari bagi membatalkan keputusan kerajaan Johor dari meneruskan pembinaan tapak sisa pepejal di Bukit Payung.
Tiga responden yang dinyatakan dalam permohohan tersebut adalah Kerajaan Negeri Johor, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan dan Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara.
Permohonan turut meminta suatu perintah bahawa kesemua prosiding dan/atau keputusan tersebut termasuk sebarang tindakan berlanjutan dengan keputusan tersebut digantung sementara menunggu perlupusan secara muktamad Permohonan Kajian Semula Kehakiman.
Difahamkan, pendengaran balas oleh pihak responden akan dibuat pada 29 Julai dan dibalas peguam Persatuan Alam Warisan Bukit Payung pada 12 Ogos.
Pendengaran dibuat hari ini di hadapan hakim Awang Armadajaya Pengiran Mahmud dengan Persatuan Alam Warisan Bukit Payung diwakili firma guaman Azree & Syahmi.
Sementara itu, pengkaji sejarah bebas dan aktivis masyarakat, Mohd Azlan Mohd Sharif dalam catatannya semalam berkata, beliau membuat pencalonan untuk menjadikan Bukit Payung sebagai tapak warisan semenjak 2019.
“Pihak NGO Selamatkan Bukit Payung sedang bawa kes ke mahkamah pada tahun 2020
“Mainkan peranan di mana juga anda berada. Saya yakin ada cahaya di hujung terowong,” katanya.
Isu penentangan penduduk terhadap cadangan pembinaan pusat pelupusan sampah Bukit Payung, berlarutan semenjak 2012.
Kerajaan BN melalui Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan pada waktu itu berkata projek berkenaan sudah bermula dengan kontraktor sudah dilantik dan dijangka beroperasi mulai 2020.
Ia kemudiannya ditangguhkan kerajaan Pakatan Harapan pada Jun 2018 berikutan bantahan berterusan dikemukakan penduduk kawasan berkenaan, namun difahamkan pembinaannya diluluskan semula pada Mei 2019.
Johorkini