MUAR, 15 OGOS: Ahli-ahli Parti Pribumi Bersatu Mlalaysia (Bersatu) bahagian Pagoh yang telah keluar parti berkata, mereka masih memiliki hubungan baik dengan ahli dan akarumbi Pakatan Harapan (PH) di negeri Johor.
Hairy Mahmood, bekas ahli Bersatu dari cawangan Gugusan Jengka Beringin berkata, keputusan keluar PH Februari lalu bukan kehendak mereka kerana ia diputuskan pucuk pimpinan parti itu.
Justeru, beliau dan rakan-rakannya sedia bekerjasama dengan PH dalam masa terdekat.

Hairy Mahmood, bekas ahli Bersatu dari cawangan Gugusan Jengka Beringin, bahagian Pagoh
“Ia tak menjejaskan sama sekali dengan rakan-rakan (PH). Kami boleh lagi berganding bahu bersama mereka.
“Bagi kami di Johor ini, apa juga keputusan untuk mengkhianati kami atau Pakatan Harapan yang dilakukan, kami sebagai orang Melayu ini berbudi bahasa dan mempunyai prinsip.
“Kita rasa malu juga dengan (rakan) parti-parti lain yang bukan seagama dengan kita seperti DAP dan sebagainya, kerana mereka memberikan kerjasama yang amat baik kepada kita, namun mereka memahami.
“Tujuan mereka hanya untuk menghapuskan kleptokrasi,” kata Hairy pada sidang media mengumumkan peletakan jawatan ahli Bersatu Pagoh dalam satu sidang media, semalam.

Ahli Bersatu bahagian Pagoh keluar parti itu beramai-ramai , semalam
Beliau menambah, keputusan Bersatu bergabung bersama Umno ibarat kembali kepada musuh, dan ia amat mengecewakan.
“Lantaran dari kekecewaan itu, kami dengan rela hati walaupun sedih, kerana perjuangan ini telah dilalui dengan jerit perih dan pelbagai usaha sebelum ini untuk menang, namun kita dikhianati.
“Diatas rasa sakit itulah, maka kami membuat keputusan untuk keluar Bersatu dan merangka hala tuju baru,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak menjelaskan bentuk kerjasama antara bekas ahli-ahli Bersatu itu dengan PH.
PH kini terdiri daripada tiga komponen utama iaitu Parti Amanah Negara (Amanah), PKR dan DAP dengan kerjasama bersama parti Warisan di Sabah.
Johorkini