BM | EN | 中文

“Kami ingat lagi janji Tan Sri nak lawan kleptokrat, tapi..”

muhyiddin-yassin-hapus-kleptokrasi-2017.png

Muhyiddin dalam satu ceramah 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi' pada 2017

MUAR, 16 OGOS: Tindakan presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin keluar Pakatan Harapan (PH) dan menubuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) bercanggah dengan prinsip untuk menentang rasuah dan kleptokrasi.

Demikian dinyatakan Mohd Noh Don, pengasas Bersatu bahagian Pagoh yang kecewa dengan langkah dilakukan presiden Bersatu itu, lantas menyebabkan beliau dan rakan-rakan di Bersatu bahagian Pagoh bertindak keluar parti.

Mohd Noh Don

“Kita masih ingat janji Tan Sri (Muhyiddin Yassin) hendak menentang kleptokrasi. Tapi lepas itu dia pula yang bergabung dengan kleptokrasi,” kata Mohd Noh.

Beliau antara individu yang menubuhkan Gerakan Ketua Cawangan Malaysia (GKCM) negeri Johor, kira-kira lima tahun dahulu, organisasi yang menghimpunkan ketua-ketua cawangan Umno yang tidak bersetuju dengan perdana menteri ketika itu, Najib Razak berhubung isu 1MDB.

Mohd Noh berkata, usaha dilakukannya seolah sia-sia, termasuk menggerakkan Deklarasi Rakyat, sebuah memorandum 1 juta tandatangan rakyat Malaysia bagi menuntut Najib Razak ketika itu meletakkan jawatannya sebagai Perdana Menteri.

“Masih ada lagi orang-orang yang terlibat dalam kes di mahkamah, masih tak selesai. Ini yang kita tak puas hati,” katanya, dipercayai merujuk kes 1MDB berkait bekas perdana menteri, Najib Razak.

Dua pertiga ahli di cawangan Muhyiddin ‘cenderung’ keluar Bersatu

Sementara itu, Mohd Saiful Jamit, bekas pengerusi tetap Bersatu cawangan Bandar Pagoh Selatan berkata, Muhyiddin solah-olah tidak ‘mengenang budi’ apabila mengkhianati orang-orang yang ‘memberikannya nyawa’ dalam politik.

“Dia (Muhyiddin) tak ada bincang. Kita dapat tahu, tiba-tiba dia tarik keluar (Bersatu) dari PH,” kata Mohd Saiful, pengerusi cawangan Bandar Pagoh Selatan yang mana cawangan keanggotaan Muhyiddin sendiri.

Kata Saiful, dua pertiga ahli dari cawangan Bersatu yang dipengerusikannya itu tidak setuju dengan keputusan keluar PH, namun menyatakan bantahan dalam diam.

“Secara terang-terangan mereka tak berani. Mereka (bantah) secara senyap,” katanya lagi.

Tambah Saiful, pada awal ketika Bersatu menarik diri dari PH menyebabkan ahli akar umbi keliru, selain berdepan masalah dan diperli oleh rakan-rakan dari parti PH.

Mohd Saiful Jamit

“Tiba-tiba keluar PH. Lepas itu kami yang kena ‘bantai’, katanya sambil menambah, terpaksa bersabar dan meneruskan hubungan dengan rakan PH dan menghadiri program anjuran mereka.

“Tapi bila saya dan rakan-rakan hadir ke program mereka dan memberikan penerangan, mereka bertukar pemikiran.

“Sebenarnya kita ini betul ‘solid’ kepada Pakatan Harapan. Berani kerana benar,” katanya lagi.

Pada 14 Ogos, beberapa pengasas Bersatu bahagian Pagoh antara yang mengumumkan keluar daripada parti itu berkuatkuasa serta-merta.

Pada satu sidang media di pekan Bukit Pasir, veteran politik Muar, Abd Wahab Ibrahim, 93, antara pengasas Bersatu bahagian Pagoh mengumumkan peletakan jawatan dari parti itu.

Dakwa beliau, kira-kira 1,000 ahli Bersatu bahagian itu turut meletakkan jawatan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top