BM | EN | 中文

Kalau perlukan bantuan beritahu, kata calon PH DUN Mahkota kepada Shahrol Shiro

Taqiuddin-DUN-Mahkota.jpg

KLUANG, 8 MAC: Calon Pakatan Harapan bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Muhamad Taqiuddin Cheman menawarkan sebarang perkhidmatan kepada pelawak terkenal tanah air yang berasal dari daerah ini, iaitu Shahrol Shiro sekiranya diperlukan.

“Ok ke tu bro? Kalau perlukan apa-apa bantuan bagitau,” menurut catatan Taqiuddin di laman Facebook beliau hari ini.

Difahamkan, polis memanggil Shahrol, yang juga penganjur di Ngepot Kabin, sebuah premis tempat makan susulan insiden pengunjung tidak melaksanakan penjarakan fizikal dalam satu majlis di Kampung Masjid Lama, di sini, kira-kira jam 9 malam, 5 Mac lalu.

Sebelum ini tular video memaparkan Najib bersama Shahrol Shiro beramah mesra dengan pengunjung dalam majlis santai anjuran Barisan Nasional (BN) sempena kempen PRN Johor.

Shahrol Shiro diketahui merupakan penyokong kuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Sebelum itu dalam catatan di laman Facebook, Shahrol Shiro mencabar Taqiuddin untuk hadir berdepan sendiri dengan Najib Razak.

Kata Shahrol, calon PH bagi DUN Mahkota itu merupakan calon dari luar Kluang dan tidak hadir ke program di Ngepot Kabin untuk bertemu sendiri bekas Perdana Menteri.

Kenyataan Shahrol dibalas Taqiuddin yang berkata bahawa beliau tetap hadir ke lokasi kerana dalam perjalanan selepas program di Kampung Bentong.

Taqiuddin turut menjelaskan bahawa calon luar daerah Kluang bukan isu, kerana calon DUN Mahkota mewakili Barisan Nasional juga merupakan ‘calon luar’ yang sebelum ini bertanding di DUN Penawar.

“Apapun, saya suka layanan di Ngepot Kabin. Mesra pelanggan dan selesa untuk makan dengan kawan-kawan,” kata Taqiuddin lagi.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng, sebelum ini berkata aktiviti terbabit melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa Empat yang dikeluarkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Menurutnya, polis mengesan sebuah video tular acara santai parti politik bersama masyarakat yang melanggar SOP Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Rakaman berdurasi 15 saat itu dimuat naik oleh pemilik akaun Facebook ‘Malaysia Negara Ku’ dan jelas memaparkan satu majlis membabitkan sebuah parti politik sedang berkumpul.

“Hasil pemantauan video jelas menunjukkan majlis tidak melaksanakan penjarakan fizikal dan pematuhan kepada arahan Ketua Pengarah Kesihatan.

“Pihak berkenaan telah dikenal pasti dan dihubungi untuk hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang bagi siasatan selanjutnya,” katanya.

Hang Seng berkata, siasatan dijalankan bawah Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2021.

Johorkini

 

Share this post

scroll to top