BATU PAHAT, 5 SEPT: Kajian Terperinci Kesan Alam Sekitar ataupun detailed environmental impact assessment (DEIA) bagi projek tapak pelupusan sisa pepejal sanitari (TPSPS) Bukit Payong telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 11 Mac 2013 .
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berkata, manakala DEIA untuk pelaksanaan projek loji waste to energy (WTE atau sisa ke tanaga) ini akan dilaksanakan oleh syarikat konsesi yang akan dilantik melalui proses RFP.
Timbalan menteri KPKT Ismail Abd Muttalib berkata demikian dalam jawapan bertulis kepada ahli parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh melalui penyata khas parlimen dikeluarkan Kementerian itu bertarikh 24 Ogos lalu.
“Loji WTE ini hanya akan dibina setelah mendapat kelulusan DEIA dan kelulusan daripada agensi-agensi lain yang berkaitan,” katanya.
Terdahulu Dr Shahruddin dalam soalannya meminta KPKT menjelaskan sama ada kajian DEIA telah dibuat untuk projek WTE di Bukit Payong.
Beliau turut meminta KPKT memberi penjelasan sama ada kajian Traffic Impact Assessment (TIA) telah dibuat dengan anggaran lori sampah kenderaan pada setiap hari.
Ismail dalam jawapannya berkata, kajian TIA bagi projek TPSPS Bukit Payong ini telah dilaksanakan pada Januari 2017 manakala bagi projek loji WTE ini akan dilaksanakan setelah pelantikan syarikat konsesi dibuat.
Ismail menambah, kajian berkaitan aliran Parit Puron ini juga telah dibuat dalam DEIA dan environmental management plan (EMP).
“Keadaan kualiti air juga dipantau melalui laporan environmental management report (EMR) yang dikemukakan setiap bulan kepada kementerian,” kayanya lagi.
Johorkini