BM | EN | 中文

KAJI SELIDIK BN MENANG TAK GUSARKAN PH

IMG-20191114-WA0041.jpg

 

Oleh: Siti Nursyahidah Abu Bakar

PONTIAN, 14 NOV : Kaji selidik bebas yang mendapati Barisan Nasional (BN) dijangka menang dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai tidak akan menggusarkan Pakatan Harapan (PH).

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sebaliknya ia akan membuatkan jentera PH lebih bekerja keras untuk menang.

“Itu kajian yang bebas dilakukan mana-mana penganalisis poltik. Ada juga kajian yang mengatakan PH sedang mendahului.

“Tetapi, tidak mengapa jika kita rasa sedikit terkebelakang atau kurang lagi sokongan.

“Jentera, kita akan lipat gandakan usaha untuk meraih kemenangan,” katanya dalam sidang media selepas melawat Pusat Media Kementerian Komunikasi dan Multimedia di Stadium Mini Pontian di sini, hari ini.

Sebelum ini, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) dalam kaji selidiknya menyatakan calon BN, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng dijangka menang dalam PRK Tanjung Piai.

Dalam pada itu, Salahuddin yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, PH akan turut mendekati 12 peratus golongan pengundi atas pagar menjelang hari terakhir kempen.

“Saya sendiri telah menyantuni orang kampung dari pintu ke pintu. Kita dekati mereka dengan sebaik mungkin dan sampaikan mesej mengenai kisah kejayaan PH,” katanya.

Katanya lagi, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah memberi mesej jelas kepada penduduk Tanjung Piai agar memberi sokongan kepada calon PH kerana hanya kerajaan PH mampu menunaikan segala janji.

“Kalau beri kemenangan kepada Jeck Seng, dia akan sekadar jadi pembangkang.

“Jangan lupa juga, Adun Kukup dari BN (Datuk Md Othman Yusof) apa dia buat? Tak pernah muncul pun.

“Maka, sia-sia kalau beri kemenangan kepada BN kerana mereka tak dapat buat apa-apa. Kalau beri mandat kepada PH, dibuktikan melalui Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik pelbagai projek kita laksanakan,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top