KOTA ISKANDAR, 12 OGOS: Menjunjung kash Tuanku Sultan Johor dalam ucapan perasmian pembukaan Sidang Dun Johor di sini, Parti Amanah Negara (AMANAH) Johor berharap penyatuan berlaku di kalangan semua Adun di negeri ini.
Pengerusi Amanah Johor, Aminolhuda Hassan berkata hasrat Tuanku Sultan Johor yang mahukan keutamaan diberikan kepada rakyat adalah langkah yang tepat.
Ketua Pembangkang DUN Johor itu berkata, kepentingan kehidupan rakyat sentiasa menjadi keutamaan wakil-wakil rakyat dari Parti Amanah.
“Perlu ada pengemblengan tenaga semua pihak bukan sahaja Adun atau wakil rakyat tetapi ia melibatkan pihak-pihak yang berpengaruh lain di luar.
“Sebagai contoh, pembabitan pakar juga perlu untuk dijemput dalam merealisasikan matlamat seterusnya dalam usaha membantu rakyat.
“Ini adalah kewajipan kami sebagai wakil rakyat dalam usaha meneruskan kebajikan sedia ada serta membangunkan ekonomi dan melawan ancaman Covid-19 ini,” katanya ketika dihubungi.
Beliau yang merupakan Adun Parit Yaani turut menjunjung kasih kepada Sultan Johor kerana memahami keadaan serta turut sama membantu bagi usaha membangunkan negeri ini semula.
“Alhamdulillah, keprihatinan Tuanku Sultan Johor sangat dialukan dan pihak kami menjunjung kasih di atas pengorbanan Tuanku Sultan Johor.
“Saya sebagai salah seorang Adun akan memastikan matlamat yang disebutkan Tuanku itu dapat dicapai sepenuhnya oleh pihak saya.
“Dalam konteks membantu rakyat, parti Amanah selama ini mengamalkan sikap peduli dan telah menjadi motto parti ini semenjak pertubuhannya.
“Dari itu kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan kami dalam parti Amanah,” katanya lagi.
Johorkini