JOHOR BAHRU, 16 JAN : Jumlah pesakit kanak-kanak disahkan positif influenza A yang kini dirawat Hospital Sultanah Aminah (HSA) berkurangan kepada sembilan orang hari ini.
Exco pendidikan, Kesihatan dan Sumber Manusia negeri, Aminolhuda Hassan berkata, jumlah berkenaan membabitkan pesakit bagi kawasan daerah Johor Bahru di mana semalam seramai 13 orang yang dirawat.
Katanya, terdapat lapan orang dewasa terdiri dikalangan warga emas turut dirawat di hospital sama kerana jangkitan wabak berkenaan ekoran mempunyai tahap imunisasi yang rendah.
“Sebahagian besar kanak-kanak ini usia antara 5 tahun sampai 9 bulan. Dimana dua daripadanya berusia setahun ke bawah agak serius dan menerima rawatan secara khusus.
“Jumlah berkenaan juga sekali gus menunjukan penurunan daripada 13 orang pesakit kanak-kanak yang dirawat semalam.
“Semua berada dalam keadaan terkawal walaupun dua kanak-kanak dikatakan agak serius tetapi masih boleh dikawal,”katanya kepada wartawan pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke HSA hari ini.
Aminolhuda yang juga Adun Parit Yaani berkata, penyakit berkenaan adalah penyakit bermusim apabila berlaku pertukaran cuaca dari hujan kepada musim panas sekali gus memudahkan penyebaran wabak berkenaan.
Oleh itu katanya, orang ramai diingatkan agar sentiasa menjaga kebersihan terutamanya apabila membawa anak-anak keluar.
“Kalau boleh elakkan membawa anak-anak ke tempat tertutup kerana lebih mudah berjangkit melalui batuk dan bersin kerana penyebaran melalui udara lebih mudah berlaku berbanding di kawasan terbuka,”katanya lagi.
Johorkini