JOHOR BAHRU, 25 OKT: My Local Stats 2020 yang diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendapati daerah Johor Bahru merekodkan jumlah penduduk ketiga tertinggi pada 2020.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Ketua Perangkawan Malaysia hari ini, Johor Bahru merekodkan jumlah penduduk seramai 1.56 juta pada tahun 2020.
Menurut kenyataan itu lagi, penemuan dalam bidang pendidikan menunjukkan daerah Johor Bahru mencatatkan jumlah guru paling ramai bagi sekolah rendah iaitu 10,052 orang.
Johor Bahru turut mencatatkan bilangan murid sekolah menengah paling tinggi iaitu 100,458 orang.
Terdahulu, statistik itu menyatakan daerah Petaling di Selangor merekodkan jumlah penduduk tertinggi pada 2020 iaitu seramai 2.16 juta orang, diikuti Kuala Lumpur dengan 1.77 juta orang.
Bilangan murid sekolah rendah paling ramai adalah di daerah Petaling iaitu 153,313 orang manakala Kuala Lumpur merekodkan guru teramai bagi sekolah menengah iaitu 8,202 orang.
Selain itu, dapatan itu juga menunjukkan penduduk Malaysia yang berumur 65 tahun dan ke atas meningkat kepada tujuh peratus pada tahun lepas dan Perak merekodkan peratus penduduk tua tertinggi iaitu 11 peratus.
Tiga daerah di Perak yang merekodkan peratus penduduk tua tertinggi ialah Kampar dengan 12.9 peratus, Kinta (12.3 peratus) serta Larut, Matang dan Selama (11.1 peratus).
“Dapatan ini menunjukkan negara berhadapan dengan cabaran menangani peningkatan peratusan penduduk tua menjelang 2030,” menurut kenyataan itu.
Penerbitan My Local Stats 2020 merupakan keempat sejak 2017 dan dikeluarkan bagi kesemua 156 daerah pentadbiran di seluruh negara.
Penerbitan itu menyediakan statistik yang diperlukan bagi perancangan pembangunan yang mampan dengan mengintegrasi statistik ekonomi dan sosial di peringkat daerah pentadbiran bagi jangka masa 2018 hingga 2020.
Terdahulu, Ketua Perangkawan Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin dilaporkan Bernama berkata,ketersediaan statistik di peringkat tempatan yang lebih terperinci, memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan daerah dalam menambah baik dasar, tadbir urus dan keperluan sosioekonomi rakyat.
Johorkini