PUTRAJAYA, 22 MEI: Jumlah keseluruhan kes COVID-19 di Malaysia telah melepasi angka setengah juta apabila 6,320 kes baharu direkodkan hari ini menjadikan kumulatif kes kini 505,115.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata pertambahan kes itu menjadikan kes aktif terkini ialah 53,682 manakala kes sembuh sebanyak 4,694.
“Sebanyak 50 kes kematian dilaporkan hari ini melibatkan 22 kes di Selangor, Kuala Lumpur (sembilan), Johor (lima), Kedah (empat), Perak (tiga), masing-masing dua kes di Sarawak dan Pahang, serta masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Melaka, dan Kelantan menjadikan kes kumulatif kematian kini 2,199.
“Kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) pula ialah 652 kes dan daripada jumlah itu, 370 memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada sidang media di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Menurut Dr Noor Hisham, terdapat 17 kluster baharu dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kluster aktif sebanyak 535.
Dalam kenyataannya, Dr Noor Hisham berkata Selangor masih mencatatkan kes harian tertinggi dengan 1,647 kes diikuti Sarawak (749), Kuala Lumpur (654), Kelantan (613), Johor (477), Negeri Sembilan (396), Pulau Pinang (359) dan Kedah (301).
Sementara itu, Perak mencatatkan sejumlah 276 kes diikuti Pahang (227), Sabah (189), Terengganu (185), Melaka (175), Labuan (36) serta masing-masing 18 kes di Perlis dan Putrajaya.
Mengenai 17 kluster baharu yang dikesan, is melibatkan tujuh kluster di tempat kerja, tujuh kluster komuniti, dua kluster keagamaan dan satu kluster kumpulan berisiko.
Kluster tempat kerja melibatkan Kluster Jalan Cemerlang Empat di Selangor, Kluster Jalan Laman Setia Tujuh (Johor); Kluster Jalan Pantai Port Dickson (Negeri Sembilan); Kluster Industri Nibong Tebal (Pulau Pinang); Kluster Sungai Batu dan Kluster Jalan Bypass Kuantan (Pahang) serta Kluster Industri Batu Berendam di Melaka.
Bagi kluster komuniti pula ialah Kluster Taman Kesang Indah (Melaka dan Johor); Kluster Kepulauan Tumpat dan Kluster Kampung Bakong Kecil (Kelantan); Kluster Redong Satu (Johor); Kluster Abaka dan Kluster Indani (Sabah) serta Kluster Melikai (Sabah dan Labuan).
Kluster keagamaan pula melibatkan Kluster Lembah Keramat (Kuala Lumpur) dan Kluster Kampung Gau (Pahang) manakala kluster berisiko tinggi ialah Kluster Taman Sungai Jelok, Selangor.
Bernama