BM | EN | 中文

JULUNG KALI ‘SURUHANJAYA’ URUS PILIHAN RAYA KAMPUS UTM

prk.jpg

JOHOR BAHRU, 5 DIS: Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah mengadakan pilihan raya kampus (PRK) bagi memilih Majlis Perwakilan Pelajar (MPP), dengan 36 kerusi dipertandingkan bagi mewakili mahasiswa universiti itu.

Buat julung kalinya, PRK kali ini dilaksanakan sepenuhnya oleh sebuah ‘suruhanjaya’ dinamakan Jawatankuasa Pilihan Raya Kampus (CEC), dianggotai 33 mahasiswa termasuk pelajar antarabangsa dari India dan Pakistan bagi mengurus dan memantau perjalanan pilihan raya ini.

Menurut satu kenyataan di sini, sembilan kerusi umum dipertandingkan iaitu tujuh di UTM Kampus Johor Bahru dan dua di UTM Kampus Kuala Lumpur, manakala 27 kerusi fakulti /sekolah melibatkan 21 di UTM Kampus Johor Bahru dan enam di UTM Kampus Kuala Lumpur.

“PRK kali ini juga menyaksikan pertembungan tiga penjuru pasukan atau parti utama iaitu Identiti Mahasiswa (IM), Aliansi Mahasiswa Progresif (AMPro) dan Bebas.

“UTM membenarkan pelajar antarabangsa dan juga Pasca Ijazah (peringkat Doktor Falsafah dan Sarjana) untuk mengundi, malah layak bertanding sebagai calon di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur,” kata kenyataan itu.

Tambahnya, ini selaras dengan pengumuman Kementerian Pelajaran Malaysia pada September tahun lalu di mana pelajar perlu diberi laluan untuk mengendalikan PRK secara telus dan bebas mengikut acuan kepimpinan mereka dalam misi pemerkasaan pelajar.

“Sesi pengundian dimulakan seawal jam 9 pagi melibatkan 23,032 orang pelajar di kampus Johor Bahru dan Kuala Lumpur dan ditutup pada jam 5 petang dan keputusan diumumkan jam 8 malam.

“Menjelang hari pilihan raya, pelbagai kempen telah diadakan bermula dari hari penamaan calon pada 27 November lalu di seluruh sekitar kampus dengan menonjolkan pelbagai manifesto menarik,” menurut kenyataan itu.

Selain itu pasukan CEC juga turut mengadakan sesi kempen ‘Jom Turun Mengundi’ di UTM Bazaar bertujuan mempromosi hari pilihan raya dan mengajak semua warga UTM turun mengundi yang mana turut menjadi medan beberapa calon bertanding untuk berkempen.

Selain mendapat panduan dan bimbingan dari universiti, CEC yang dibantu oleh 200 orang sekretariat ini turut mendapat pendedahan serta simulasi melalui sesi latihan teori di ibu pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya, Putrajaya.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top