BM | EN | 中文

Jual-beli di lampu isyarat boleh disaman sehingga RM2,000 – Ketua Polis Johor

Jual-beli-di-lampu-isyarat.jpg

Gambar Hiasan (Gambar Ehsan Community Roda Johor)

Advertisement

PASIR GUDANG, 16 MAC: Bukan sahaja penjual tetapi pembeli juga berdepan saman sehingga RM2,000 jika didapati bersalah membeli dan menjual produk di persekitaran lampu isyarat.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, aktiviti perniagaan itu adalah satu kesalahan kerana ia bukan sahaja membahayakan penjual, tetapi juga pengguna jalan raya.

Beliau dilaporkan Utusan Online berkata, pihaknya menasihati peniaga agar mencari lokasi perniagaan lebih bersesuaian manakala pembeli jangan merisikokan diri membeli produk dijual di persimpangan lampu isyarat.

Advertisement

“Menerusi Ops Kesedaran, polis Johor mengenalpasti ada 52 lokasi yang menjadi tumpuan aktiviti perniagaan di persimpangan lampu isyarat di seluruh Johor.

“Mengikut peruntukan undang-undang, bukan sahaja penjual boleh dikenakan tindakan tetapi pembeli juga boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2,000,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas mengikuti Op Khas – Ekzos Bising di Taman Kota Masai di sini hari ini.

Advertisement

Turut hadir, Pengarah JAS Johor, Dr. Famey Yusof.

Antara lokasi `perniagaan’ dikenal pasti di negeri ini termasuklah di lampu isyarat pusat beli-belah Angsana Johor Bahru Mall, lampu isyarat Kempas Baru-Pasir Gudang, lampu isyarat Taman Cempaka dan lampu isyarat Jalan Kulai-Kota Tinggi.

Tambah beliau, peniaga dinasihatkan mencari kaedah jualan lain yang bukan sahaja lebih selamat tetapi mengikut undang-undang negara.

Advertisement

Ayob Khan bagaimanapun memberitahu, setakat ini pihaknya belum menerima laporan terdapat mana-mana insiden kemalangan melibatkan aktiviti perniagaan di lampu isyarat.

Aktiviti jualan di persimpangan lampu isyarat semakin popular bukan sahaja di Johor malah di Lembah Klang.

Antara yang banyak dijual di persimpangan lampu isyarat ialah mangga asam boi dan pelbagai jenis minuman.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top