BM | EN | 中文

JPN JOHOR SEDIA HADAPI SEBARANG KEMUNGKINAN

aminolhuda-8.jpg

PONTIAN, 31 OKT : Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor bersedia menghadapi sebarang kes luar jangka termasuklah bencana alam khususnya banjir sepanjang peperiksaan Sijil Peperiksaan Malaysia (SPM) bagi fasa dua yang akan bermula 5 hingga 28 November ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan berkata, bagi menghadapi musim banjir, pihaknya telah menubuhkan ops payung yang mana ianya telah dilaksanakan setiap tahun bagi menghadapi sebarang peperiksaan utama.

“Ops payung ini melibatkan komuniti tertentu di peringkat daerah termasuk agensi lain. Kita sememangnya mempunyai ‘engagement’ dengan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan sebagainya.

“Kemudiannya, kita telah mengenalpasti sekolah-sekolah dan penempatan tertentu yang berisiko tinggi terlibat dalam bencana ini.

“Jadi, kita telah bersiap sedia juga sekiranya terdapat kemungkinan jalan putus, tertutup dan sebagainya. Maka, kita akan pindahkan mereka (pelajar) ke sekolah lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang persediaan JPN untuk menghadapi situasi banjir sepanjang peperiksaan SPM berlangsung.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Karnival Mini Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Kukup, di sini, hari ini.

Turut hadir; Pengarah JPN negeri, Azman Adnan.

Dalam pada itu, Adun Parit Yaani itu memberitahu, seramai 50,619 calon terlibat dalam peperiksaan itu di negeri ini bagi fasa dua membabitkan 360 pusat peperiksaan

“Fasa pertama telah bermula pada 14 hingga 17 Oktober lalu dan mata pelajaran yang diduduki oleh calon peperiksaan adalah sebanyak 38 mata pelajaran yang terdiri daripada 48 kertas peperiksaan.

“Manakala, mata pelajaran bagi fasa dua ini adalah sebanyak 26 mata pelajaran yang terdiri daripada 48 kertas peperiksaan,” katanya.

Tambahnya, daripada jumlah keseluruhan, seramai 43,567 calon merupakan calon Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK), Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

“Manakala, jumlah selebihnya iaitu 798 calon merupakan calon Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan Pusat GiatMara; Sekolah Agama Kerajaan Negeri (138 calon); Sekolah Swasta (3,807 calon) dan persendirian (2,219 calon).

“Selain itu, jumlah calon bagi Calon Berkeperluan Khas (CBK) di negeri ini adalah sebanyak 186 orang yang terdiri daripada kategori masalah pembelajaran, penglihatan, kurang upaya pelbagai, pertuturan, pendengaran dan fizikal,” katanya lagi.

JohorKini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top