BM | EN | 中文

JPN dapatkan perincian, nasihat JKR mengenai kerugian kebakaran SMK Pasir Gudang 3

Mazlan-Bujang-kebakaran-SMK-Pasir-Gudang-3.jpg

Mazlan melawat SMK Pasir Gudang 3 yang terbakar, pagi tadi (Gambar Ehsan Bernama

Advertisement

JOHOR BAHRU, 30 JUN: Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) akan mengadakan satu mesyuarat khas bagi mendapatkan perincian kerugian dan punca kewangan serta  nasihat Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kebakaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Gudang 3 di Jalan Jati, Taman Air Biru, dekat sini, pagi ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya negeri Mazlan Bujang berkata kebakaran itu telah merosakkan bilik stor, bilik akses server dan bilik sejarah di sekolah berkenaan.

“Hasil penilaian awal kerugian dianggarkan mencecah kira-kira RM1 juta kerana melibatkan perkakas seperti komputer selain ada beberapa bilik dan bumbung yang terbakar.

Advertisement

“Kita (kerajaan negeri) akan usaha, kalau ada peruntukan kecemasan bajet kita akan pakai (untuk baiki kerosakan), kalau tidak cukup kita kena mohon peruntukan tambahan (daripada Kementerian Pendidikan),” katanya kepada pemberita ketika melawat sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Turut hadir Pegawai Pendidikan Daerah Pasir Gudang Kuswandi Tayen.

Ketika ditanya sama ada ia akan menjejaskan sesi pembelajaran di sekolah berkenaan, Mazlan berkata sekolah akan beroperasi seperti biasa kerana kebakaran tidak melibatkan bilik darjah.

Advertisement

Kejadian di tingkat tiga sekolah itu disedari guru pada pukul 9.49 pagi dan pihak bomba tiba di lokasi kebakaran 10 minit kemudian. Ketika kejadian, terdapat 250 pelajar Tingkatan Lima di sekolah berkenaan dan kesemua pelajar terbabit berada di bangunan berlainan.

“Kebakaran ini tidak melibatkan sebarang kecederaan pelajar mahupun guru dan kakitangan. Pelajar juga dikumpulkan di kawasan padang sekolah mengikut prosedur operasi standard (SOP) kebakaran,” katanya yang turut menjelaskan terdapat 81 guru, empat kakitangan pembersihan dan tiga pekerja kantin ketika kejadian.

Sementara itu, Komander Operasi Pegawai Kanan Bomba I Mohamad Faizul Selamat, dalam kenyataan berasingan berkata, 24 anggota daripada Balai Larkin, Pasir Gudang dan Johor Jaya, pergi ke lokasi kebakaran dengan kekuatan tiga jentera Fire Rescue Tender, dua jentera Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) dan satu jentera Water Tanker.

Advertisement

Kebakaran itu, yang memusnahkan 80 peratus bilik stor dan bilik akses server dan lima peratus bilik sejarah, dapat dikawal daripada merebak ke bahagian lain dan operasi tamat pada 12.44 tengah hari,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top