BM | EN | 中文

JPJ Johor sasar kutip RM1.8 juta menerusi diskaun 70 peratus

jpj.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 4 OGOS: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Johor menyasarkan 20,000 kes saman kompaun atas pelbagai kesalahan jalan raya diselesaikan menerusi diskaun 70 peratus yang ditawarkan kerajaan selama sebulan, bermula 1 Ogos lepas.

Pengarahnya Razali Wagiman berkata bagi tempoh awal tahun 2019 sehingga Jun tahun ini terdapat 40,231 kes saman dan kompaun yang masih belum diselesaikan dan jika 70 peratus saman berkenaan dibayar, dianggarkan sebanyak RM1.8 juta dapat dikutip.

“Bagaimanapun, kita bukanlah mengharapkan kutipan itu (RM1.8 juta) tetapi berharap agar Orang Kena Saman (OKS) dapat selesaikan (saman) kerana jika tidak ia akan memberi masalah kepada mereka juga, contohnya untuk memperbaharui lesen atau cukai jalan,” katanya, lapor Bernama

Advertisement

Antara kesalahan yang dilakukan pemandu termasuk melanggar Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES); Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (AWAS); tidak memakai topi atau tali pinggang keledar; tidak mematuhi lampu isyarat merah; menggunakan telefon bimbit semasa memandu; memotong di garisan berkembar; menggunakan lorong kecemasan; memotong sebelah kiri jalan; saman kompaun Op Musim Perayaan; kes senarai hitam dan saman kompaun lain.

Justeru, beliau berharap OKS merebut peluang yang telah ditawarkan oleh Kementerian Pengangkutan untuk menjelaskan saman masing-masing demi kelancaran urusan pemanduan.

Sementara itu, tinjauan di pejabat JPJ negeri di Taman Daya, mendapati OKS mula mengambil peluang melunaskan bayaran saman masing-masing seawal pukul 9 pagi, setelah pejabat tidak beroperasi kerana cuti umum sejak, Sabtu lepas.

Advertisement

Pembayaran saman di kaunter masih terkawal dan tiada barisan panjang kelihatan di luar pejabat.

Sementara itu Razali berkata orang ramai boleh membayar saman di kaunter JPJ negeri, di sini, serta enam cawangan JPJ di Pontian, Batu Pahat, Muar, Segamat, Kluang dan Mersing.

Saman juga boleh dijelaskan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Galeria Kota Raya, UTC Pasir Gudang, JPJ Mobile, portal mySIKAP JPJ dan kiosk JPJ.

Advertisement

Pada 28 Julai lepas, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, tawaran 70 peratus bagi pembayaran saman diberikan ke atas kesalahan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), Akta Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (Akta 334), Akta Pengangkutan Awam Darat (Akta 715) serta Kaedah-kaedah dan Perintah-perintah di bawahnya, termasuk kes yang masih dalam tindakan senarai hitam.

Bagaimanapun, bagi kesalahan yang disenarai hitam, orang ramai dikehendaki hadir ke pejabat JPJ cawangan atau negeri bagi proses dokumentasi sebelum urusan pembayaran dilakukan.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top