BM | EN | 中文

Johor usaha bantu dapatkan pekerjaan lebih 1,000 gelandangan

izhar-ahmad-gelandangan-JB.jpg

Gambar Ehsan FB Mohd Izhar Ahmad

Advertisement

JOHOR BAHRU, 27 SEPT: Kerajaan negeri kini dalam usaha untuk membantu mendapatkan pekerjaan kepada lebih 1,000 gelandangan yang sebahagian daripadanya dikenal pasti merupakan individu yang bekerja di Singapura.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad berkata 50 peratus daripada jumlah berkenaan dikenal pasti sebagai gelandangan transit iaitu pekerja di Singapura yang tidak dapat memasuki republik berkenaan berikutan pandemik COVID-19.

Katanya, 30 peratus daripada jumlah itu pula merupakan gelandangan penagih dan 20 peratus adalah mereka yang mempunyai masalah keluarga seperti penceraian dan sebagainya.

Advertisement

Menurutnya, langkah pertama yang akan dilakukan adalah dengan menempatkan kesemua mereka di sebuah pusat perlindungan khusus sebelum usaha bagi mendapatkan pekerjaan dilakukan.

“Kita mahu kumpulkan mereka dan tempatkan di satu penempatan, dan selepas itu kita tengok kemampuan setiap individu sebelum memasukkan mereka dalam program upskilling, reskilling untuk padankan dengan apa-apa jawatan yang relevan untuk diisikan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Hari Kesihatan anjuran Ranhill SAJ di sini, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Nor Ifuan Md Nor.

Advertisement

Mohd Izhar berkata usaha bagi membantu golongan gelandangan itu juga akan dilakukan menerusi kerjasama daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat, Unit Sumber Manusia Modal Insan dan Job Malaysia.

Mengulas mengenai Belanjawan Johor pada tahun hadapan, beliau berkata bajet di bawah portfolionya akan tertumpu kepada sasaran bantuan kepada rakyat, usahawan dan pelabur.

“Matlamatnya bertujuan untuk meningkatkan semula ekonomi negeri secara berperingkat,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top