JOHOR BAHRU, 21 DIS: Kadar elaun tetap bulanan ahli-ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dinaikkan berkuatkuasa 1 Januari, tahun hadapan.
Exco Kerajaan Tempatan, Kesejahteraan Bandar dan Alam Sekitar negeri, Tan Chen Choon berkata kadar baru bagi ahli-ahli majlis di Johor adalah seperti berikut:
- Taraf PBT Bandaraya dinaikkan kepada RM1,800 berbanding kadar semasa RM900
- Taraf PBT Perbandaran dinaikkan kepada RM1,300 berbanding kadar semasa RM800
- Taraf PBT Daerah dinaikkan kepada RM1,000 berbanding kadar semasa RM600
Beliau berkata kali terakhir kadar elaun tetap bulanan ahli-ahli majlis PBT disemak dan diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor adalah pada tahun 2015.
“Cadangan untuk kenaikan kadar elaun tetap ini adalah berasaskan pengiktirafan kepentingan dan sumbangan ahli-ahli majlis dalam meningkatkan sistem penyampaian PBT khusus di kawasan bandar.
“Ini termasuklah peranan serta tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh setiap ahli majlis di dalam bidang perancangan dan pembangunan PBT yang semakin mencabar,” katanya dalam satu kenyataan di sini.
Tambahnya, kerajaan negeri Johor telah mengambil keputusan untuk menaikkan kadar tersebut selepas mengambil kira faktor kos sara hidup yang kini semakin meningkat.
“Selain itu, perbandingan kadar-kadar elaun tetap bulanan ahli-ahli majlis di sebahagian PBT di Semenanjung Malaysia serta kekuatan kewangan PBT negeri Johor juga antara faktor yang diambil kira,” katanya lagi.
Johorkini