BM | EN | 中文

JOHOR TINGKAT LITERASI DI SEKOLAH GUNA PERMAINAN TRADISIONAL

mohd-khuzzan-abu-bakar-semerah.jpg

ISKANDAR PUTERI, 20 OGOS: Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat negeri Johor yang masuk edisi kelima akan dimulakan di peringkat sekolah rendah dan menengah di Johor, termasuk sekolah-sekolah vernakular.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd. Khuzzan Abu Bakar berkata, pelaksanaan festival ini bermula dari peringkat akar umbi iaitu di sekolah rendah dan menengah termasuk sekolah jenis kebangsaan Cina dan Tamil di setiap daerah di negeri Johor.

“Bagi pelajar yang mewakili peringkat zon, program diselaraskan oleh pihak jabatan pendidikan negeri.

“Seterusnya bagi pelajar yang mewakili daerah ke peringkat negeri, penyelarasan program akan dilaksanakan oleh Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negeri Johor.

“Kita juga ada perancangan untuk memperkenalkan program ini kepada pelajar antarabangsa yang menuntut di sekolah-sekolah antarabangsa di negeri Johor,” katanya kepada Johorkini.

Menghimbau kembali pengalamannya di bangku persekolahan, Mohd. Khuzzan berkata selaku anak Johor, permainan tradisi ini amat dekat dengan dirinya.

“Pengalaman waktu kecil sebagai orang Johor, kita tidak boleh lari dari permainan tradisional kerana kita berasal dari kampung.

“Saya sendiri terlibat dalam banyak permainan tradisi seperti galah panjang, ceper, baling selipar, gasing dan guli,” kata Khuzzan.

Beliau yang juga Adun Semerah dalam kenyataan sebelum ini berkata, usaha mengangkat kearifan budaya kini giat dijalankan kerajaan negeri melalui Festival Permainan Tradisional dan Permainan Rakyat Johor.

Katanya, festival yang dirancang itu akan turut dipromosi termasuk ke Singapura melalui program galakan pelancongan.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top