BM | EN | 中文

JOHOR TERUSKAN USAHA ATASI MASALAH DENGGI 

khuzzan-dewan-sidang-dun.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 27 NOV: Sebanyak 9,703 kes denggi dicatatkan di seluruh negeri ini sejak Januari hingga kini, dimana Johor Bahru mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 7,199 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Mohd Khuzzan Abu Bakar berkata sebanyak (462) kes dicatatkan di Kulai, (220) kes di Muar, (164) kes di Tangkak, (369) di Batu Pahat, (568) di Kluang, (216) di Segamat, (145) di Pontian, (227) di Kota Tinggi dan (133) di Mersing.

“Manakala, pada tempoh yang sama, kes kematian denggi adalah sebanyak 26 kes dimana mangsa berumur antara lapan bulan hingga 95 tahun,” katanya kepada sidang media ketika ditemui di luar Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.

Advertisement

Terdahulu ketika menjawab soalan Gan Peck Chen (PH-Penggaram) tentang usaha kerajaan negeri mengatasi masalah denggi, Khuzzan berkata Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) telah mendapat kerjasama dan sokongan daripada kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) dalam aktiviti pencegahan dan kawalan kes denggi di Johor.

Katanya, antara aktiviti utama dalam menangani peningkatan ini adalah aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan nyamuk Aedes, dimana pada waktu yang sama bertujuan untuk mendapatkan penyertaan masyarakat dalam membersihkan persekitaran tempat tinggal atau tempat kerja mereka.

“Sehingga 31 Oktober lalu, sebanyak 1,144 aktiviti cari dan musnah oleh Combi (Communication For Behavioral Impact) telah dijalankan di seluruh Johor yang melibatkan 47,249 orang secara keseluruhannya, selain penganjuran program gotong royong mega,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata antara langkah lain termasuklah penganjuran Operasi Penguatkuasaan Premis Individu (OPPI) dan 15 Operasi Gempur Aedes.

“Surat peringatan kenaikkan kes denggi juga telah diedarkan kepada kerajaan negeri dan pejabat kesihatan daerah selain mengadakan mesyuarat pengurusan wabak denggi peringkat negeri Johor yang melibatkan beberapa pihak.

“Selain itu, sejak awal tahun lalu, sembilan pasukan bantuan dari daerah-daerah telah dimobilasi ke Johor Bahru untuk membantu kawalan denggi memandangkan daerah itu mempunyai bilangan kes terbanyak,” katanya.

Advertisement

Khuzzan berkata, JKNJ juga turut mengadakan hebahan umum berkaitan pencegahan ini melalui slot ceramah radio serta media sosial.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top