BM | EN | 中文

Johor tertinggi tangkapan kes narkotik bagi 2019

IMG-20200120-WA0007.jpg

Mohd Kamaruddin (tengah) pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor, hari ini

Advertisement

JOHOR BAHRU, 20 JAN: Polis Johor mencatatkan jumlah tangkapan tertinggi berbanding kontinjen lain di seluruh negara berkaitan kes dadah sepanjang tahun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, seramai 17,501 individu diberkas dengan rampasan dadah sebanyak 2,960 kilogram.

Katanya, keseluruhan nilai rampasan tersebut berjumlah RM134.93 juta, manakala jumlah harta yang disita adalah sebanyak RM10.47 juta hasil aktiviti pengedaran dadah

Advertisement

“Kita telah berjaya mencapai kejayaan yang luar biasa untuk tahun lepas (2019). Saya rasa ini adalah yang tertinggi bagi seluruh kontinjen di Malaysia,” katanya kepada wartawan pada sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohd Kamaruddin menyampaikan Sijil Penghargaan Ketua Polis Johor kepada 180 anggota pada perhimpunan di IPK Johor.

Menurut statistik Jabatan Narkotik Polis Johor, 17,501 yang ditangkap terdiri daripada 2,530 (bekalan), 5,426 (memiliki), 9,355 (positif air kencing dan 190 orang (Langkah-langkah Pencegahan Khas-LLPK).

Advertisement

Tambahnya lagi, pihaknya akan meneruskan operasi pemutihan yang telah dijalankan mulai 2019 serta meningkatkan operasi terutamanya di kawasan bandar untuk mengurangkan penagih.

“Ini kerana mereka yang menagih ini akan terlibat dengan jenayah. Kita nak pastikan mereka ini tidak ada di jalanan, supaya kita rasa selamat,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata, antara kejayaan terbesar kontinjen Johor apabila berjaya menyelesaikan dua kes culik iaitu menyelamatkan seorang pemborong sayur dan lima penculik yang telah didakwa di mahkamah.

Advertisement

Manakala satu lagi kes membabitkan operasi menyelamatkan seorang ahli perniagaan dengan dua penculik ditembak mati.

Beliau berkata, bagi kes jenayah komersil, sebanyak 1,888 operasi dijalankan pada 2019 dengan 2,076 tangkapan.

“Kita juga akan meningkatkan Ops Dadu yang melibatkan perjudian secara dalam talian dan yang konvensional dan Ops Noda melibatkan warga asing yang terlibat dengan kegiatan maksiat, aktiviti gangsterisme, penyeludupan rokok dan arak,” katanya lagi.

Advertisement

Dalam pada itu, beliau berkata, Polis Johor akan memberi tumpuan kepada aktiviti sindiket penyeludupan haiwan terancam melalui Ops Khazanah.

“Dua tempat yang biasa berlaku iaitu di (Taman Negara) Endau-Rompin dan Kahang (Kluang). Dua tempat ini biasa berlaku aktiviti ini.” katanya lagi.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top