BM | EN | 中文

Johor terima RM16.66 juta laksana Program Jaminan Bekalan Makanan

Johor-terima-RM16.66-juta-laksana-Program-Jaminan-Bekalan-Makanan.jpg

Gambar Ehsan FB Hasni Mohammad

Advertisement

JOHOR BAHRU, 19 SEPT: Jabatan Pertanian Negeri Johor menerima peruntukan sebanyak RM16.66 juta daripada Kementerian Kewangan (MOF) bagi melaksanakan Program Jaminan Bekalan Makanan dalam usaha menjadikan negeri ini sebagai hab pengeluaran makanan negara.

Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad berkata menerusi peruntukan itu, jabatan akan menyelaras enam program membabitkan 1,583 penerima dalam kalangan syarikat peneraju dan pengusaha, bermula tahun ini hingga 2022 bagi memastikan bekalan makanan mencukupi dan selamat dimakan.

Beliau berkata daripada jumlah peruntukan itu, RM2 juta diagihkan untuk Program Kolaborasi Syarikat Peneraju dengan Pengusaha Tanaman dan Industri Asas Tani (IAT).

Advertisement

“Program ini adalah kerjasama antara syarikat peneraju yang bertindak sebagai pemain industri dan IAT membabitkan urusan jual beli hasil atau produk pertanian, seterusnya mewujudkan perjanjian ladang kontrak.

“Satu persefahaman akan dapat dicapai antara syarikat peneraju dan pengusaha bagi mendapatkan harga pasaran yang relevan serta menguntungkan kedua-dua pihak, atas nasihat Jabatan Pertanian negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hasni berkata syarikat peneraju akan bertanggungjawab mencari pasaran sama ada tempatan atau eksport, manakala pengusaha berperanan memastikan produk dapat dikeluarkan dengan kuantiti yang mencukupi, berkualiti dan selamat.

Advertisement

“Menerusi program ini, setiap syarikat peneraju dan pengusaha masing-masing akan menerima insentif maksimum RM50,000 dan RM20,000,” katanya sambil menambah insentif diberikan dalam bentuk peralatan, mesin, kelengkapan atau infrastruktur diperlukan.

Katanya ia bertujuan meningkatkan produktiviti dan membangunkan pusat pengumpulan hasil ladang bagi memastikan proses pemasaran berjalan lancar, sekali gus mengatasi masalah lambakan produk pertanian yang sering dihadapi pengusaha terutamanya dalam mendapatkan harga pasaran yang baik.

Menurut beliau, usaha itu antara kaedah membantu pengusaha yang terdiri daripada petani kecil daripada Iingkungan kumpulan B40, pada masa sama syarikat peneraju mendapat produk pertanian mencukupi dan berkualiti, seterusnya mampu meningkatkan kadar sara did negara.

Advertisement

Perjanjian persefahaman itu ditandatangani hari ini oleh Exco Pertanian Datuk Samsolbari Jamali dan Pengarah Pertanian Negeri Johor Alang Mad Daud Dawan bersama enam syarikat peneraju dan 20 pengusaha bagi fasa pertama.

Majlis turut disaksikan Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Azmi Rohani.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top