BM | EN | 中文

Johor terima 84,588 pelancong bermalam pada Jun 2020

dun-johor-hasni-mohamad.jpg

JOHOR BAHRU, 11 SEPT: Johor menerima 84,588 pelancong bermalam pada Jun tahun ini berbanding hanya 585 orang pada bulan sebelumnya.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata peningkatan mendadak yang dipacu oleh pelancong domestik itu menunjukkan ekonomi Johor sudah mulai beransur pulih selepas sektor peniagaan seperti hotel dibuka semula.

“Setelah sektor perhotelan dibuka, pelbagai promosi telah dijalankan.

“Kerajaan negeri juga telah memperuntukkan sejumlah RM17.34 juta bagi memberi bayaran one-off kepada seramai 935 pemandu pelancong dan insentif galakan pelancongan kepada syarikat agensi pelancongan serta melaksanakan pengecualian bayaran lesen perniagaan kepada pemilik syarikat pelancongan dan pengecualian duti hiburan.

“Ini semua demi merancakkan sektor ekonomi pelancongan yang terjejas akibat pandemik COVID-19,” kata beliau menjawab soalan Tan Chen Choon (PH-Jementah) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar, semalam.

Tan sebelum itu bertanyakan mengenai pencapaian ekonomi Johor menurut kadar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) serta perancangan dan usaha yang dijalankan untuk memulihkan ekonomi yang terjejas teruk akibat COVID-19.

Hasni berkata untuk meningkatkan daya tahan rakyat, kerajaan negeri telah melaksanakan Pakej Rangsangan Ekonomi Ihsan Johor Siri 1 dan Siri 2 dengan peruntukkan berjumlah RM174.5 juta.

Johor, katanya, turut mewujudkan majlis ekonominya sendiri yang dinamakan Majlis Ekonomi Ibrahim Johor (IJEC) serta melaksanakan Tujuh Ikhtiar Makmur Johor.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top