BM | EN | 中文

Johor tambah peruntukan RM11.1 juta kepada Adun, JPKD

Dewan-Undangan-Negeri-Johor.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 22 OGOS: Kerajaan Johor mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM11.1 juta kepada semua wakil rakyat dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras Khas (JPKD) Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Mengumumkan perkara itu, Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohammad berkata ia melibatkan RM150,000 kepada semua 56 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan peruntukan RM100,000 kepada 27 Pengerusi JPKD DUN dalam usaha membantu lebih ramai masyarakat yang terkesan dengan COVID-19.

“Saya berharap agar peruntukan tambahan ini boleh digunakan bagi tujuan kebajikan dan kemaslahatan masyarakat di kawasan DUN Yang Berhormat sekalian,” katanya pada penggal persidangan keempat Dewan Undangan Negeri Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Advertisement

Beliau berkata selain kerajaan negeri, pelbagai agensi kerajaan termasuk Majlis Agama Islam Negeri Johor, turut aktif dalam menyalurkan bantuan kepada masyarakat yang terjejas akibat pandemik.

ADUN Benut itu berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Parit Yaani) mengenai apakah jenis bantuan yang disampaikan oleh agensi selain kerajaan negeri.

Sebelum itu, Hasni berkata kerajaan Negeri Johor telah mengumumkan tiga siri bantuan Pakej Rangsangan Ekonomi (PRE) Ihsan Johor iaitu PRE Ihsan Johor 1.0, PRE Ihsan Johor 2.0 dan PRE Ihsan Johor 3.0 melibatkan peruntukan sebanyak RM 491.25 juta meliputi 103 inisiatif.

Advertisement

Beliau berkata bagi PRE Ihsan Johor 3.0 pula sebanyak 33 inisiatif telah disediakan dengan peruntukan sebanyak RM 210.43 juta.

“Sehingga kini sebanyak RM 90.39 juta atau 42.96 peratus telah dibelanjakan dengan lapan inisiatif telah selesai dilaksanakan. Inisiatif ini telah memanfaatkan seramai 423,691 penerima,” katanya.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top