BM | EN | 中文

Johor rancang wujud pusat inovasi robotik, dron dan AI

Mohd-Izhar-Ahmad-Exco-Johor-Adun-Larkin.jpg

ISKANDAR PUTERI, 13 SEPT: Kerajaan negeri merancang untuk mewujudkan pusat kajian dan pembangunan serta pusat inovasi teknologi robotik, dron dan Kecerdasan Buatan (AI).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri Mohd Izhar Ahmad berkata perancangan itu sejajar dengan keperluan industri yang kini berpacu kepada teknologi tinggi untuk kekal relevan.

Selain itu, katanya ia akan melengkapi pembangunan kemudahan infrastruktur dan prasarana berteknologi lain yang sedang dirancang seperti Medini 9 Blokchain di sini dan Kulai Iskandar Data Exchange (KIDEX) di Kulai.

“Kerajaan juga mengambil perhatian terhadap potensi industri tekno-kreatif dan proses kajian.

“Semua inisiatif ini akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkemahiran tinggi untuk anak tempatan selain dapat melahirkan lebih ramai lagi usahawan tekno dalam kalangan anak Johor,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan S.Ramakrishnan (PH-Bekok) yang ingin tahu mengenai jenis-jenis latihan kemahiran masa depan yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk membantu usahawan yang berdepan dengan dunia perniagaan yang sudah berubah selepas pandemik COVID-19.

Mohd Izhar berkata tempoh sukar berikutan pandemik COVID-19 memperlihatkan banyak komuniti perniagaan dan usahawan mula beralih kepada penggunaan teknologi digital dalam aspek pemasaran dan perniagaan mereka.

Ini berdasarkan laporan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) yang menunjukkan sebanyak 79,274 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) memanfaatkan penggunaan platform e-dagang dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini.

“Melihat kepada potensi tersebut, pelbagai usaha pembangunan telah dirancang untuk memperkasakan pengetahuan dan kemahiran digital golongan usahawan di negeri ini.

“Antara inisiatif yang dilaksanakan ialah memperkenalkan aplikasi E-Bazar Makmur Johor, sebuah platform e-dagang yang disediakan untuk peniaga Bazar Ramadan untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian,” katanya.

Beliau berkata aplikasi itu telah disertai dan dimanfaatkan oleh lebih 500 peniaga atau usahawan kecil di Johor dengan nilai transaksi jualan berjumlah RM107,344.27.

Bernama

 

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top