BM | EN | 中文

JOHOR RAI KEPELBAGAIAN KAUM

IMG-20191121-WA0031.jpg
Advertisement

 

ISKANDAR PUTERI, 21 NOV: Kerajaan negeri tidak mengetepikan kepelbagaian kaum, agama dan budaya di negeri ini dalam usaha untuk meningkatkan kepentingan perpaduan di kalangan rakyat.

Justeru itu, Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, sejumlah RM3.5 juta peruntukkan disediakan kepada pembangunan masyarakat Cina bagi tujuan kebajikan dan pendidikan.

Advertisement

Katanya, manakala, bagi masyarakat India pula, kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM3 juta supaya dapat digunakan secara optimum untuk tujuan kebajikan, aktiviti keusahawanan dan pendidikan bagi masyarakat tersebut.

“Sementara itu, dalam usaha menyelaras segala bentuk inisiatif kepada orang Melayu dan Bumiputera, sama ada di peringkat agensi kerajaan persekutuan dan negeri, Jawatankuasa Pemerkasaan Agenda Bumiputera Negeri Johor akan ditubuhkan.

“Jawatankuasa ini akan berfungsi sebagai penyelaras dan merangka hala tuju masyarakat Bumiputera di Johor terutamanya di dalam aspek pembangunan modal insan, pendidikan, pemilikan hartanah dan ekuiti serta lain-lain lagi,” katanya.

Advertisement

Beliau berkata demikian ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 pada Mesyuarat Ketiga (Belanjawan 2020) Bagi Penggal Persidangan Kedua Dewan Negeri Johor Yang Ke-14, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Dr Sahruddin turut mengumumkan sebanyak RM2.1 juta untuk pelaksanaan Program Bandar Selamat yang akan dilaksanakan di Batu Pahat, Kluang, Kota Tinggi, Pasir Gudang, Pontian, Simpang Renggam dan Yong Peng.

Katanya, peruntukan ini untuk menambah lagi pemasangan kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan-kawasan hotspot, meningkatkan pencahayaan di kawasan taman perumahan serta untuk laluan pejalan kaki selamat.

Advertisement

“Manakala, Pelan Tindakan Kejiranan dan Kesejahteraan Komuniti akan disediakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Intergrasi Nasional (JPNIN) Negeri Johor melalui Kawasan Rukun Tetangga bagi memperkukuhkan aspek keselamatan dan kesejahteraan komuniti,” katanya lagi.

JohorKini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top