BM | EN | 中文

Johor pertimbang wajib penyediaan kemudahan telekomunikasi dalam pelan bangunan

johor-bahru.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 20 NOV: Kerajaan negeri sedang mempertimbang untuk menjadikan penyediaan kemudahan telekomunikasi adalah syarat mandatori yang perlu dipatuhi pemaju dalam merangka setiap pelan bangunan mereka di Johor pada masa depan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata perbincangan awal ke arah usaha itu telah pun dimulakan semalam menerusi mesyuarat Majlis Digital Johor yang membolehkan kerajaan negeri turut merangka Pelan Induk Digital Johor.

“Kita menganggap kemudahan telekomunikasi ini adalah utiliti utama yang sama penting seperti bekalan air dan elektrik. Jadi, kita perlu sampai ke tahap tertentu dengan infrastruktur telekomunikasi atau aspek digital akan menjadi syarat wajib dalam mana-mana rancangan pembangunan atau pelan pembinaan.

Advertisement

“Bagaimanapun, Johor akan mengkaji perkara ini secara mendalam supaya mendapat kerjasama daripada pemaju dan pihak berkuasa tempatan (PBT) pula bersedia untuk memproses dan menerima cadangan ini,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara dalam talian, selepas tamat mesyuarat Majlis Digital Johor yang pertama di sini, semalam.

Menurut Hasni, buat masa ini, memang terdapat pemaju telah mengambil inisiatif menyediakan infrastruktur terbabit dalam setiap projek mereka namun, usaha itu tidak secara komprehensif.

“Jadi perkara ini yang hendak kita fokuskan supaya akan ada lebih banyak atau akhirnya nanti setiap pembangunan perlu ada infrastruktur telekomunikasi,” katanya.

Advertisement

Pada masa sama, beliau memaklumkan penyediaan kemudahan infrastruktur ini merupakan antara aspek yang bakal diberi tumpuan khusus dalam Belanjawan Johor 2021 supaya rakyat dapat merebut peluang dan melibatkan diri dalam rancangan dan program yang dilaksanakan kerajaan negeri berkaitan ekonomi digital.

Ini penting katanya, kerana ekonomi digital kini dilihat sebagai satu sumber baharu dalam menjana ekonomi, lebih-lebih lagi ketika negara berdepan dengan pandemik COVID-19.

“Kita dapat melihat betapa pentingnya atau betapa besarnya sumbangan ekonomi digital ini kepada ekonomi negara dan negeri kita apabila banyak penggunaan platform digital digunakan sebagai keperluan asas untuk aktiviti ekonomi,” katanya.

Advertisement

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top