BM | EN | 中文

Johor paling rendah rizab margin air terawat – Kementerian Alam Sekitar dan Air

empangan-congok-mersing.jpg

Gambar Hiasan

Advertisement

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Johor merupakan negeri terendah merekodkan kadar rizab margin air terawat yang ditetapkan di bawah Indeks Prestasi Utama (KPI) 15 peratus setakat suku kedua tahun 2020.

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Dr. Ahmad Masrizal Muhammad (KASA) berkata, pihaknya menetapkan KPI rizab margin yang perlu dipatuhi dan dicapai operator air setiap negeri adalah sebanyak 10 hingga 15 peratus.

Menurut Ahmad Masrizal Muhammad, Johor mencatatkan kadar rizab margin air terawat bawah KPI sebanyak 11.3 peratus.

Advertisement

Selain itu Sabah mencatatkan 8.3 peratus, Perlis (7.1 peratus), Selangor (1.5 peratus), Kelantan (-0.2 peratus) dan Kedah (-2.3 peratus).

“KASA melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertindak sebagai badan kawal selia industri perkhidmatan air negara telah menetapkan KPI (Petunjuk Prestasi Utama) rizab margin air terawat yang perlu dipatuhi dan dicapai oleh semua operator air negeri iaitu pada kadar 10 hingga 15 peratus,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Ahmad Nazlan Idris (BN-Jerantut) mengenai inisiatif kementerian dalam mengatasi isu margin rizab air terawat negara yang kini berada pada tahap rendah dan perancangan jangka panjang bagi menambah punca air.

Advertisement

Ahmad Masrizal berkata bagi Selangor, Loji Langat 2 yang dijangka siap pada 2023 akan meningkatkan kadar rizab margin air terawat di negeri itu kepada 10 peratus.

Sementara bagi Kelantan, Loji Kg Teluk yang dijangka siap pada 2021 akan meningkatkan rizab margin air terawat negeri itu kepada empat peratus.

“Bagi Kedah, lima loji telah dilulus tender yang dijangka siap pada 2023 dan akan meningkatkan rizab margin air terawat kepada 21 peratus,” katanya.

Advertisement

Ahmad Masrizal dilaporkan Bernama sebagai berkata, bagi kadar rizab margin air terawat seluruh negara, ia berada pada tahap 11.5 peratus, bersamaan 1,943 juta liter/sehari sehingga suku kedua tahun ini.

Beliau berkata selain pembinaan loji rawatan air baharu dan menaik taraf loji rawatan sedia ada, inisiatif pengurangan kadar kehilangan air tidak terhasil (NRW) dengan penggantian paip usang dan rosak serta membaiki tangki perkhidmatan dilakukan bagi meningkatkan kadar rizab margin air terawat negara.

Sementara itu, menjawab soalan Datuk Seri Tiong King Sing (GPS-Bintulu) mengenai pendekatan kerajaan untuk memperbaiki sistem saliran terutama di kawasan bandar yang sering banjir kilat, Ahmad Masrizal berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bekerjasama rapat dengan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk menangani masalah berkenaan di seluruh negara.

Advertisement

“Ini boleh dizahirkan dengan memantapkan lagi mekanisme pematuhan ulasan saliran oleh JPS dalam proses permohonan kebenaran merancang bagi sesebuah pembangunan.

“Kepentingan kerjasama PBT ini telah pun ditekankan dalam beberapa kertas yang dibentangkan dalam Majlis Air Negara. Manual Saliran Mesra Alam juga telah lama diluluskan untuk pemakaian oleh PBT sejak 2000 melalui Majlis Negara bagi Kerajaan Tempatan,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top