BM | EN | 中文

Johor mungkin dapat Menteri Besar Interim, kata pemimpin BERSATU Johor

johor.jpg
Advertisement

JOHOR BAHRU, 8 JUL: Johor berkemungkinan mempunyai Menteri Besar Interim sekiranya UMNO negeri ini memutuskan untuk mengikut keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, yang menarik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Bekas Menteri Besar, Datuk Osman Sapian, berkata situasi itu berdasarkan titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar pada 23 Jun lalu yang menitahkan semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bersatu hati membantu rakyat negeri ini yang terjejas akibat wabak COVID-19.

Osman yang juga ADUN Kempas, berkata Sultan Ibrahim turut memberi amaran untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor sekali gus berlakunya Pilihan Raya Negeri (PRN), jika berlaku lagi perebutan kuasa dalam kalangan wakil rakyat negeri ini, tahun lalu.

Advertisement

“Johor ini unik, walaupun kita berpandukan tindakan di peringkat Persekutuan, namun Sultan Johor mempunyai kata pemutus berdasarkan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Jika UMNO tarik sokongan terhadap PN Johor seperti keputusan MKT awal pagi tadi, akan berlaku ketidakstabilan politik negeri sehingga berlaku lagi pertukaran Menteri Besar buat kali keempat dalam tempoh satu penggal.

“Berdasarkan titah Sultan Ibrahim sebelum ini, baginda tidak akan bersetuju jika Johor terus berdepan pergolakan politik sehingga kerajaan negeri sering bertukar-tukar sehingga menjejaskan rakyat yang berdepan pandemik selain ekonomi negeri terkesan.

Advertisement

“Oleh itu, saya berpandangan, Sultan Ibrahim mungkin menitahkan pelantikan Menteri Besar Interim bagi mengemudi kerajaan negeri sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti,” katanya, lapor BH Online.

Osman yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam turut menjelaskan mengenai apa yang yang bakal berlaku jika UMNO Johor menarik sokongan daripada PN Johor.

“Jika UMNO negeri menarik sokongan terhadap PN Johor, kerajaan negeri yang diterajui Datuk Hasni Mohammad, akan kehilangan majoriti sekali gus menyebabkan Pakatan Harapan (PH) Johor menjadi lebih dominan dengan 27 kerusi.

Advertisement

Katanya, ketika ini kerajaan negeri yang diterajui UMNO Johor dengan sokongan PN Johor membabitkan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (BERSATU) dan PAS memiliki majoriti tipis, 29 kerusi.

“UMNO Johor mempunyai 14 kerusi, MIC dua kerusi,BERSATU 12 manakala PAS pula satu kerusi, membentuk kerajaan negeri ketika ini dengan 29 kerusi.

“Pengerusi Perhubungan UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad perlu menyatakan kedudukan mereka segera.

Advertisement

“Ini penting supaya tindakan seterusnya boleh diambil sekali gus mengelakkan ketidakstabilan politik di Johor berpanjangan dan hanya menyusahkan rakyat ketika wabak COVID-19 masih menular,” katanya.

Johorkini

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top