BM | EN | 中文

Johor mungkin berdepan masalah kekosongan perumahan, ambil masa untuk pulih

perumahan-johor-bahru-Senibong.jpg

Gambar Hiasan

JOHOR BAHRU, 3 OGOS: Negeri Johor bakal berdepan keadaan dimana wujud masalah kekosongan perumahan akibat pengehadan perjalanan di antara Malaysia – Singapura.

Adun Bekok, S. Ramakrishnan berkata, negeri Johor yang kini sudah menghadapi masalah jumlah besar hartanah komersial dan kediaman yang belum terjual, bakal berdepan pula dengan kekosongan perumahan yang dijangka mengambil masa bertahun-tahun untuk pulih.

Katanya, langkah kerajaan Malaysia mengumumkan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Disember memberi kesan kepada industri hartanah di negeri ini, kerana bergantung kepada para penyewa, iaitu rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura.

“Negeri Johor sudah mempunyai jumlah besar harta komersial dan kediaman yang belum terjual.

“Keadaan ini telah mewujudkan kekosongan perumahan yang akan memakan masa bertahun-tahun untuk pulih,” katanya.

Ramakrishnan berkata, sikap kerajaan Johor ketika ini seolah-olah tidak menghargai sumbangan besar pekerja ini kepada ekonomi negeri.

“Semasa wabak Covid-19, golongan ini tidak dapat melakukan perjalanan ke Singapura. Setelah enam bulan berlalu, kini kebanyakan daripada mereka telah kehilangan pekerjaannya.

“Mereka tiada cara lain untuk menstabilkan kedudukan ekonomi mereka melainkan pulang ke negeri asal mereka yang terletak di utara.

“Mereka juga terpaksa menyerah kediaman atau kondominium yang mereka beli melalui pinjaman sewaktu bekerja,” kata Ramakrishnan lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top