JOHOR BAHRU, 4 OKT: Malaysia dan Indonesia merupakan dua buah negara bersaudara yang telah menikmati berpuluh tahun hubungan diplomatik yang mesra dan kukuh.
Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal berkata, berasaskan semangat itu, Johor berperanan menjadi jambatan perhubungan di antara Malaysia dan Indonesia melalui dialog pelbagai hala.
Katanya, antara perkara yang perlu diperbincangkan secara berkala merangkumi isu perdagangan, perairan dan pembangunan inovasi.
“Ini sekali gus mengekalkan segala bentuk aktiviti yang berhubungan dengan kepentingan hubungan persahabatan dan perdagangan antara kedua negara,” katanya
Sahruddin berkata demikian pada majlis makan malam bersama Konsulat Jenderal Republik Indonesia di Johor Bahru sempena Sambutan Hari Kemerdekaan Ke-74 Republik itu, kelmarin.
Tambahnya, Johor mempunyai peranan penting dalam rantaian bekalan serantau dan global.
Oleh itu katanya, negeri Johor perlu bersedia untuk menarik sebahagian besar daripada pelaburan global dan Timur Jauh ke Asia Tenggara.
“Johor sedang berkembang pesat dengan projek infrastruktur berserta komponen ekonomi utama, iaitu Iskandar Malaysia selain pelan induk, yang akan menjadikan negeri ini dan bandaraya Johor Bahru sebagai barisan hadapan.
“Di tengah-tengah imbuhan pembangunan, ini merupakan cabaran besar bagi Johor dan pihak berkepentingan di bandar raya ini untuk memastikan cita-cita kita menjadi bandar raya dunia menjelang 2020 terlaksana,” katanya.
Justeru itu kata Sharuddin, syarikat multinasional dan perniagaan tempatan perlu memanfaatkan peluang tersebut dan bekerjasama melalui jalinan yang lebih bermakna.
“Indonesia dan Singapura akan sentiasa menjadi rakan-rakan strategik kita.
“Kita di Johor dan Malaysia amnya, komited untuk terus bekerjasama dengan negara lain demi faedah bersama,” kata Sahruddin.
Johorkini