BM | EN | 中文

JOHOR MAHU SEMAK SEMULA PELAN TINDAKAN PEMBANGUNAN WANITA NEGERI JOHOR 2020-2025

IMG-20191007-WA0012.jpg

JOHOR BAHRU, 7 OKT : Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPKDT) mahu menyemak semula Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor pada tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Wanita dan Masyarakat negeri, Liow Cai Tung berkata, kajian semula itu adalah menambah baik pelan tindakan yang sedia ada.

“Pada masa kini, kita menggunapakai Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor 1997- 2001.

“Jadi, tahun depan kita mahu semak semula dan kaji semula pelan berkenaan.

“Kita gunakan nama Pelan Tindakan Pembangunan Wanita Negeri Johor 2020-2025 dahulu dan nama lain akan dibincangkan kemudian,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan Program Perbincangan Meja Bulat Pemetaan Kerangka Kerja Input Bagi Penyediaan Dasar Wanita Negara 2021-2025 di Rumah Alumni Universiti Teknologi Malaysia, di sini, hari ini.

Perbincangan itu melibatkan agensi dan badan bukan kerajaan (NGO) negeri ini yang mana melibatkan lima bidang fokus iaitu ekonomi, pendidikan, keselamatan, kesejahteraan dan kepimpinan.

Tujuannya adalah untuk membangunkan potensi dan mendaya upaya wanita sebagai agen perubahan kepada masyarakat serta penyumbang kepada ekonomi negara.

Cai Tung yang juga Adun Johor Jaya itu berkata, pelan tindakan itu juga akan selaras dengan Dasar Wanita Negara.

“Pelan tindakan berkenaan bukan setakat khusus kepada golongan wanita semata-mata, sebaliknya turut melibatkan keluarga dan masyarakat serta kanak-kanak,” katanya.

Beliau berkata, semakan semula dan kajian pelan itu bakal melibatkan penyertaaan golongan profesional.

“Kajian itu adalah untuk memastikan sama ada pelan sebelum ini sesuai atau sebaliknya selain menambah baiknya.

“Pada masa sama, kita akan mengambil kira masalah sosial yang sering berlaku dan dihadapi oleh masyarakat,” katanya lagi.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top