BM | EN | 中文

Johor mahu Putrajaya segerakan dasar vaksinasi remaja bawah 18 tahun

Dewan-Undangan-Negeri-Johor.jpg
Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 6 SEPT: Johor berharap kerajaan Persekutuan menyegerakan dasar berhubung pemberian vaksin Covid-19 kepada golongan remaja bawah 18 tahun dalam usaha memperluaskan imuniti kelompok dalam kalangan masyarakat.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata pemberian vaksin kepada golongan itu dilihat lebih penting berbanding dos ketiga atau dos penggalak.

“Yang lebih penting ialah (pemberian vaksin) bagi pelajar-pelajar bawah 18 tahun. Kita harap kerajaan pusat akan menyegerakan dasar suntikan bagi mereka di bawah 18 tahun ini,” katanya menjawab soalan tambahan Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) pada hari keempat Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor ke-14 di Iskandar Puteri hari ini.

Advertisement

Setakat semalam, beliau berkata Johor telah mencapai kadar vaksinasi 83.1 peratus bagi golongan dewasa yang menerima satu dos manakala 52.6 peratus telah menerima dos lengkap.

Hasni (BN-Benut) berkata demikian ketika menjawab soalan Yeo sama ada kerajaan negeri bercadang memberikan vaksin dos penggalak kepada barisan hadapan.

Terdahulu, ketika menjawab soalan lisan, menteri besar itu berkata Johor bakal menerima sumbangan 100,640 dos vaksin Pfizer-BioNTech oleh kerajaan Singapura dalam masa terdekat.

Advertisement

Hasni yang berterima kasih di atas sumbangan itu berkata sebelum ini, sebagai tanda persahabatan yang erat antara Johor dan Singapura, kerajaan Singapura telah menyumbang sebanyak 20,000 dos vaksin Sinovac pada 29 Julai lepas.

“Tambahan lagi, kerajaan negeri juga menerima 300,000 dos vaksin Sinopharm hasil sumbangan daripada kerajaan Emiriah Arab Bersatu.

“Sehubungan itu, dalam kesempatan ini, saya ingin berterima kasih kepada mantan Menteri Luar Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein atas usaha untuk mendapatkan dan memudah cara proses penerimaan vaksin tersebut ke Johor,” katanya.

Advertisement

Jumlah vaksin yang diterima oleh Johor di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) bermula pada 1 Mac 2021 sehingga 5 Sept 2021 adalah sebanyak 4,713,800 dos.

Hasni menjawab soalan Jimmy Puah (PH-Bukit Batu), Dr S. Ramakrishnan (PH-Bekok), Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar), Yeo Tung Siong (PH-Pekan Nanas) dan Muhammad Taqiuddin Cheman (PH-Pulai Sebatang) mengenai pembelian vaksin dalam usaha mempercepatkan proses vaksinasi di Johor.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top