KULAI, 14 JULAI: Pelaksanaan hari Jumaat sebagai ‘Hari Jawi’ oleh kerajaan pusat merupakan inisiatif baik dalam memperkasa penggunaan tulisan Jawi, namun kerajaan negeri tidak melihat keperluan untuk menetapkan Jumaat sebagai hari khusus bagu tujuan itu.
Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Tosrin Jarvanthi berkata, hal itu kerana kerajaan negeri telah memperkenalkan inisiatif serupa bermula Januari lalu.
“Kerajaan negeri telah mengambil langkah awal bagi memperkasa penggunaan tulisan Jawi di peringkat pentadbiran negeri menerusi inisiatif Jawi Johor.
“Inisiatif berkenaan melibatkan penggunaan tulisan Jawi ke atas semua jabatan dan anak syarikat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) dan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) bagi tujuan urusan rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar yang diadakan selepas melancarkan Program Inisiatif Pemimpin Advokasi Denggi (I-PAD) 2020 Peringkat Daerah Kulai di Dewan Raya Bandar Putra, Kulai, di sini hari ini.
Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kulai, Mohd. Radzi Mohd. Amin dan Pegawai Kesihatan Daerah Kulai, Dr. Faridah Ali.
10 Julai lalu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri dalam kenyataan memberitahu, Jumaat diumumkan sebagai ‘Hari Jawi’ dalam usaha mengekal dan memperkasa sebahagian tradisi dan kebudayaan yang membentuk Malaysia sehingga hari ini.
Sementara itu, pihaknya turut memberitahu sekolah-sekolah dibawah pentadbiran kerajaan negeri sudah bersedia untuk dibuka semula mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
“Persiapan untuk pembukaan semula Sekolah Agama Kerajaan Johor telah dilaksanakan dan kesemua sekolah terlibat akan dibuka secara berperingkat bermula hari ini hingga 3 Ogos,” tambahnya.
Johorkini