BM | EN | 中文

Johor larang kegiatan politik di masjid, surau

Masjid-Sultan-Ibrahim-Muar.jpg

Masjid Sultan Ibrahim, Muar (Gambar Hiasan)

JOHOR BAHRU, 21 FEB: Tokoh dan pemimpin daripada mana-mana parti politik tidak dibenarkan mengadakan sebarang kegiatan politik di dalam masjid dan surau di seluruh negeri Johor berkuat kuasa serta-merta.

Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Tosrin Jarvanthi berkata ketetapan itu diambil oleh Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ).

Beliau berkata setiap kadi daerah dipertanggungjawabkan untuk memastikan tiada sebarang kegiatan politik termasuk majlis ceramah mahupun memberikan ucapan di masjid dan surau di kawasan mereka.

“Bahagian Pengurusan Masjid dan Surau JAINJ mengambil ketetapan tidak dibenarkan mana-mana tokoh dan pemimpin politik walaupun daripada parti kerajaan yang memerintah, menggunakan masjid serta surau untuk sebarang kegiatan politik,” katanya pada sidang media di Kulai, Jumaat lalu.

Tosrin berkata sekiranya perkara seumpama itu berlaku, ia akan dirujuk kepada Bahagian Fatwa Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) bagi memutuskan tindakan lanjut.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac ini sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, manakala tarikh penamaan calon pada 26 Feb dan pengundian awal pada 8 Mac.

Bernama

Share this post

scroll to top