BM | EN | 中文

Johor lancar Pelan Induk bagi hidupkan tamadun Melayu

Hasni-Mohammad.jpg

Gambar Ehsan FB Hasni Mohammad

Advertisement

JOHOR BAHRU, 8 OKT: Kerajaan Negeri Johor hari ini melancarkan Pelan Induk Johor Sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025 dalam usaha untuk menghidupkan tamadun Melayu.

Menteri Besar Johor Datuk Ir Hasni Mohamad berkata Johor merupakan negeri pemula merangka dan melancarkan pelan induk tersebut yang mengandungi sembilan teras strategik.

“Sesungguhnya, pelan induk ini sewajarnya menjadi jalan pencerahan untuk kita menghidupkan Tamadun Melayu.

Advertisement

“Saya harap pelan induk ini janganlah hanya menjadi dokumen coffee table. Ia harus menjadi rangka tindakan untuk membangun dan mempromosi kearifan bangsa Melayu dan dunia Melayu,” katanya berucap melancarkan pelan induk berkenaan, di sini hari ini.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Negeri Johor Mazlan Bujang.

Hasni berkata sembilan teras strategik tersebut ialah Institusi Islam dan Kesultanan Melayu Johor, Kepemimpinan Melayu Johor, Warisan Budaya Johor, Bahasa dan Persuratan Melayu, Ekonomi Melayu, Pelancongan Warisan dan Budaya, Pendidikan dan Pengislahan Awam, Pustaka Warisan Digital serta Iltizam Politik.

Advertisement

Terdahulu, Bernama melaporkan Hasni sebagai berkata, kesemua teras strategik itu dapat mewakili semua aspek penting dalam pembangunan dan pemerkasaan Tamadun Melayu Johor.

“Kerajaan Negeri Johor, melalui Yayasan Warisan Johor dan Bahagian Perancang Ekonomi Negeri Johor (BPENJ) mengambil serius tentang keperluan untuk menjadikan Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa.

“Oleh itu, satu Jawatankuasa Pemandu Pelan Induk Johor sebagai Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa 2021-2025 akan ditubuhkan,” katanya dan menambah jawatankuasa tersebut akan berperanan memantau dan melaporkan pelaksanaan pelan induk kepada Kerajaan Negeri Johor dari semasa ke semasa.

Advertisement

Beliau dalam pada itu turut berterima kasih kepada pasukan penggubal dan pasukan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) atas kejayaan penyediaan pelan induk tersebut.

Sementara itu, Mazlan dalam ucapannya berkata projek penyediaan penyelidikan pelan induk tersebut dihasilkan oleh sekumpulan panel penggubal seramai 12 orang yang mempunyai pelbagai latar belakang bidang profesionalisme yang diketuai Prof Madya Dr Mohd Izani Mohd Zain, Prof Emeritus Datuk Dr Ibrahim Komoo serta Prof Dr Ungku Maimunah Mohd Tahir.

Beliau berkata idea mewujudkan pelan induk itu muncul selepas berlangsungnya Persidangan Tamadun Melayu Johor pada 11 Nov 2015 dan persidangan tersebut mencadangkan agar Johor menjadi Pusat Tamadun Melayu Antarabangsa dengan menyingkap kekuatan khazanah dan pembangunan tamadun Melayu di Johor.

Advertisement

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top