BM | EN | 中文

Johor komited jayakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri

Majlis-Pelancaran-Program-Mentor-Mentee-Pertubuhan-Peladang-di-Daerah-Pontian.jpg

Gambar Ehsan Majlis Daerah Pontian

Advertisement

PONTIAN, 14 MAC: Kerajaan negeri komited menjayakan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor bagi memastikan Johor kekal menjadi hab bekalan makanan bukan sahaja bagi pasaran domestik tetapi antarabangsa.

Menteri Besar, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, inisiatif itu penting kerana sektor pertanian adalah sektor penting seperti yang dapat dilihat dalam situasi pandemik Covid-19 ketika ini.

Kata beliau, sektor pertanian bukan sahaja memberi jaminan bekalan makanan kepada rakyat tetapi menjamin kestabilan ekonomi pemainnya.

Advertisement

“Kerajaan Pusat telah menambah peruntukan bagi sektor pertanian sebanyak RM35 juta dan sebahagiannya diterima Johor bagi meningkatkan lagi sektor pertanian di negeri ini.

“Pada masa sama, kerajaan negeri memberi peruntukan tambahan sebanyak RM500,000 kepada Pusat Pengumpulan Hasil Pertanian kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Benut dan PPK Kluang,” katanya, lapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang di Daerah Pontian di Parit Dahlan, Benut, di sini hari ini.

Advertisement

Yang hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali dan Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang Johor, Datuk Sawalludin Ahmad.

Menurut Hasni, pihaknya memuji jalinan kerjasama antara swasta dan agensi kerajaan bagi sama-sama menjayakan agenda bekalan makanan yang diusahakan kerajaan negeri.

“Menerusi program hari ini, kita juga menyaksikan syarikat All Cosmos Industries menyediakan peruntukan sebanyak lebih RM400,000 bagi membimbing dan melahirkan lebih ramai usahawan tani.

Advertisement

“Usaha seperti ini amat digalakkan kerana Johor berpotensi menjadi pengeluar makanan khususnya pengeluar buah-buahan terbesar negara. Kita juga berharap untuk meningkatkan lagi kemampuan eksport produk tempatan pada masa depan,” ujarnya.

Beliau turut memaklumkan akan memperluas pelaksanaan Agenda Jaminan Bekalan Makanan Negeri Johor di daerah-daerah lain pada masa depan.

Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang itu menyaksikan seramai 24 peserta daripada empat PPK iaitu Pontian Selatan, Benut, Pekan Nanas dan Ayer Baloi terlibat dalam menjayakan lima projek korporat.

Advertisement

Program itu melibatkan 10 jenis tanaman termasuk ubi, pisang, kunyit, serai, lada hitam, cili, nanas dan kopi.

Johorkini

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top