BM | EN | 中文

JOHOR, KEDAH TERIMA 31,610 TIKET FINAL PIALA MALAYSIA

piala-malaysia-.jpg

PETALING JAYA, 29 OKT: Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) dan Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) masing-masing menerima sejumlah 31,610 keping tiket untuk aksi final Piala Malaysia 2019 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Bernama melaporkan, pengagihan jumlah tiket berkenaan termasuk 750 keping tiket kanak-kanak bagi setiap pasukan berkenaan diputuskan selepas mesyuarat penyelarasan final Piala Malaysia 2019 di Ibu Pejabat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), semalam.

Dalam pada itu, Setiausaha Eksekutif KFA, Shahrul Shamsudin, berkata pihaknya akan menjual 26,610 tiket termasuk 750 tiket kanak-kanak kepada penyokong Kedah di kaunter tiket perkarangan Stadium Darul Aman, Alor Setar, Khamis ini.

Sejumlah 5,000 lagi tiket akan dijual secara dalam talian kepada penyokong Kedah tidak termasuk bagi kategori tempat duduk RM80, RM100 dan RM150.

“Kami sudah menambah baik sistem penjualan di kaunter tiket yang saya rasa lebih efisien serta memudahkan penyokong kerana mereka hanya perlu datang ke satu tempat untuk mendapatkan tiket final.

“Sebanyak 5,000 tiket berharga RM50 diperuntukkan kepada penyokong Kedah akan mula dijual bermula Rabu ini, “ kata Shahrul kepada media selepas mesyuarat pelyarasan itu.

Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat PBNJ, Kapten Mohd Anizam Jamian berkata, mereka akan membuat pengagihan penjualan tiket sebanyak 26,610 keping kepada 10 daerah di negeri Johor.

Beliau berkata sebahagian daripada tiket berkenaan akan turut dijual di kaunter Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin pada Khamis ini.

“Ini memberi kemudahan kepada penyokong JDT di setiap tempat bagi mendapatkan tiket perlawanan akhir Piala Malaysia dan selepas membuat pecahan, selebihnya kami akan jual di Larkin,” kata Mohd Anizam.

Beliau pada masa turut optimis kesemua 31,610 keping tiket termasuk 5,000 keping tiket yang dijual secara dalam talian akan habis terjual kepada penyokong JDT.

Terdahulu  dilaporkan, mesyuarat berkenaan memutuskan KFA dan PBNJ masing-masing turut diperuntukkan sejumlah 4,969 keping tiket berharga RM80, 2,621 keping tiket berharga RM100 dan sejumlah 550 keping tiket berharga RM150 yang akan dijual secara dalam talian.

Skuad Johor Daul Ta’zim (JDT) mara ke final selepas mencatat kemenangan agregat 5-1 ke atas Selangor, manakala Kedah layak menerusi peraturan gol di tempat lawan selepas terikat 8-8 secara agregat dengan Pahang.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top