BM | EN | 中文

Johor jadikan masjid penempatan sementara banjir jika perlu

Zaiton-Ismail-Exco-Pembangunan-Wanita-Keluarga-dan-Masyarakat-Johor.png

JOHOR BAHRU, 21 DIS: Kerajaan negeri bersedia untuk menjadikan pusat ibadat termasuk masjid sebagai pusat penempatan sementara (PPS) bagi menempatkan mangsa banjir sekiranya diperlukan.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail berkata, langkah itu akan diambil sekiranya PPS yang dibuka tidak mencukupi untuk menampung jumlah mangsa.

Katanya, bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri khususnya di Selangor ketika ini telah meningkatkan tahap waspada kerajaan Johor.

“Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Johor telah berada dalam tahap siap siaga untuk menghadapi banjir dengan memasuki tempoh hujung tahun di mana musim tengkujuh kerap berlaku.

“Kami mempunyai bekalan keperluan asas mencukupi, termasuklah makanan kering, tuala dan lain-lain untuk menghadapi bencana banjir atau lain-lain bencana,” katanya, lapor Utusan Online.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri program Anugerah Kecemerlangan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) di sini hari ini.

Tambah Zaiton, kesemua kakitangan JKM Johor telah diminta untuk bersedia menghadapi sebarang kemungkinan banjir di mana-mana daerah seluruh negeri ini.

“Selain itu, orang ramai juga diingatkan untuk sentiasa peka dengan perubahan cuaca dan turut membuat persiapan khususnya bagi mereka yang menetap di kawasan kerap berlaku banjir.

“Simpan barangan peribadi di tempat yang selamat, selain itu mereka juga dinasihatkan untuk menyimpan sedikit bekalan makanan sekiranya perlu,” ujarnya.

Beliau turut meminta rakyat negeri ini agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa jika berlaku sebarang kejadian tidak diingini.

Tahun lalu, bencana banjir berlaku di beberapa daerah di negeri ini yang bermula penghujung Disember dan berlarutan sehingga ke awal Januari, beberapa PPS dibuka bagi menempatkan ribuan penduduk yang terjejas.

Johorkini

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published.

scroll to top