JOHOR BAHRU, 20 APR: Johor mengharapkan ‘berita positif’ menerusi pertemuan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lee Hsien Loong, yang dijangka akan membincangkan mengenai pembukaan semula sempadan yang dijadualkan pada awal bulan hadapan.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata, hal ini kerana pembukaan sempadan merupakan agenda berterusan kerajaan negeri, dan pihaknya akan memastikan mereka yang terlibat dalam rentas sempadan itu seperti pekerja, menerima vaksin COVID-19.
“Oleh sebab itu, kita juga akan mempersembahkan kepada kerajaan persekutuan prosedur operasi standard (SOP) rentas sempadan.
“Ia termasuk pergerakan terhad, walau mereka boleh rentas sempadan, tidak bermakna mereka boleh bergerak di seluruh Singapura.
“Kalau mereka bekerja, maksudnya mereka perlu bergerak dari tempat A dan tempat B, jadi akan ada mekanisme yang boleh dibangunkan untuk kita kawal,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas menghadiri ‘Kickstart’ Program Mekar: Modul Kesedaran Jenayah Kanak-Kanak dan Remaja, kolaborasi antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini semalam.
Turut hadir Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay dan Naib Canselor UTM Profesor Datuk Ts Dr Ahmad Fauzi Ismail.
Beliau berkata demikian, ketika diminta mengulas tentang tahap keyakinan kerajaan negeri dalam pembukaan semula sempadan ke republik itu, memandangkan kes Covid-19 dilihat meningkat.
Pada 12 April lepas, Menteri Luar Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein berkata, pembukaan sempadan antara dua negara itu dijangka menjadi agenda perbincangan, menerusi pertemuan antara Muhyiddin dan Hsien Loong pada awal bulan depan.
Johorkini