BM | EN | 中文

Johor harap pengisytiharan Segamat kawasan pertumbuhan ekonomi baru ECER disegera

Segamat-HM-Photography.jpg

Gambar Ehsan Flickr HM Photography

Advertisement

ISKANDAR PUTERI, 7 DIS: Kerajaan negeri berharap proses pengisytiharan Segamat sebagai kawasan pertumbuhan ekonomi baharu dalam koridor Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dapat disegerakan.

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad berkata ini perlu bagi membantu kerajaan negeri memacu pembangunan ekonomi di daerah berkenaan.

Katanya, rancangan untuk menjadikan Segamat sebagai sebahagian ECER itu diumumkan oleh kerajaan pusat sebelum ini, susulan kejayaan koridor ekonomi itu menarik sebanyak RM1.61 bilion pelaburan di Mersing.

Advertisement

“Berikutan kejayaan itu, ECER merancang untuk memperluaskan kawasannya menerusi pelaksanaan pelan Induk ECER 2.0 (EMP 2.0) yang melibatkan daerah Segamat.

“Kawasan ini dirancang oleh kerajaan negeri Johor untuk difokuskan dengan sektor pertanian bagi menjayakan inisiatif Agenda Jaminan Bekalan Makanan.

“Oleh itu, kerajaan negeri memohon supaya proses pengisytiharannya dapat dijalankan dengan segera di peringkat kerajaan persekutuan,” katanya ketika menggulung ucapan Belanjawan Johor 2021 pada Persidangan Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar semalam.

Advertisement

Menurut Hasni, kerajaan negeri sentiasa mengalu-alukan dan menyokong projek pembangunan wilayah koridor ekonomi seperti Iskandar Malaysia dan ECER bagi merancakkan lagi pertumbuhan ekonomi di sesebuah wilayah atau kawasan.

Bagaimanapun, katanya, projek dan program pembangunan di Iskandar Malaysia lebih tertumpu di tiga daerah iaitu Johor Bahru, Kulai dan Pontian manakala kawasan ECER hanya meliputi wilayah timur Johor iaitu Mersing.

Cadangan pengisytiharan Segamat itu diumumkan oleh bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak semasa pentadbiran kerajaan Barisan Nasional ketika Majlis Pecah Tanah Projek Landasan Berkembar Elektrik (ETS) Gemas-Johor Bahru di Segamat pada April, 2018.

Advertisement

Kawasan ECER diperkenalkan pada 2007 dan setakat ini merangkumi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Mersing di Johor.

Bernama

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top