BM | EN | 中文

Johor harap HSR diteruskan meskipun tak libatkan Singapura – Menteri Besar

Khaled-Nordin-Hasni-Mohammad.jpg

Hasni Mohammad (kanan) : Gambar Ehsan Yahoo News Malaysia

Advertisement

JOHOR BAHRU, 2 JAN: Kerajaan Negeri Johor berharap agar projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura yang diumumkan penamatannya semalam, tetap diteruskan meskipun jajaran baharu tidak melibatkan Singapura.

Menteri Besar Datuk Ir Hasni Mohammad berkata keputusan penamatan itu turut memberi peluang kepada kerajaan persekutuan untuk meneliti semula pulangan pelaburan projek tersebut kepada negara.

Beliau juga yakin kerajaan mempunyai perancangan lebih baik untuk Johor berikutan lebih 300 kilometer daripada jajaran asal HSR meliputi negeri tersebut yang akan turut menerima impak langsung manfaat pembangunannya.

Advertisement

“Antara perkara yang kita (Johor) harapkan adalah agar HSR dapat diteruskan walaupun tidak melibatkan Singapura. Saya percaya ia boleh memberi pulangan langsung kepada ekonomi negara dan Johor, lebih-lebih lagi apabila siapnya projek Sistem Transit Rapid Link (RTS Link).

“Apabila kita merancang untuk membina HSR, mungkin pertimbangan mengenai kewujudannya belum jelas dan ini adalah peluang untuk melihat semula perancangan HSR sama ada bersendirian dan Malaysia menyusun (semula) pembangunan industri rel,” kata beliau kepada pemberita dalam sidang media, di sini, hari ini.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Benut berkata, ini termasuk melihat semula penggunaan Bas Rapid Transit (BRT) di Iskandar Puteri yang boleh ditukar kepada perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) dan melengkapkan sistem perhubungan rel di Johor.

Advertisement

Menurutnya, kerajaan negeri juga tidak menolak penglibatan Singapura dalam aspek pelaburan meskipun jajaran baharu HSR tidak melibatkan republik itu kerana usaha tersebut turut memberi manfaat kepada rakyatnya di Malaysia.

Pada masa sama, Hasni juga berharap agar kerajaan Johor turut dilibatkan dalam perbincangan baharu projek itu bagi mengambil kira kepentingan rakyat negeri itu.

“Kita berharap sebarang perbincangan baharu akan turut mengambil kira pandangan Johor dalam memastikan rakyat negeri ini mendapat manfaat serta limpahan daripada pelaksanaannya,” katanya.

Advertisement

Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata satu kajian terperinci akan dijalankan yang meliputi semua aspek termasuk daya maju projek kereta api laju domestik serta manfaatnya kepada rakyat.

Bernama

 

Advertisement

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top