BM | EN | 中文

Johor guna pendekatan mesra perniagaan untuk tarik lebih banyak pelaburan

Mohd-Izhar-Ahmad-Exco-Johor-Adun-Larkin.jpg

ISKANDAR PUTERI, 3 SEPT: Kerajaan Johor akan mengamalkan pendekatan mesra pelabur dan perniagaan bagi memastikan negeri ini terus menjadi pilihan utama pelabur dalam menghadapi pasca pandemik COVID-19.

Sehubungan itu, pengerusi Jawatankuasa Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia negeri, Mohd Izhar Ahmad berkata pihaknya akan kerap mengadakan lawatan kerja untuk berbincang dan menyelesaikan isu-isu atau masalah dihadapi pengilang dan pelabur, khususnya di kawasan perindustrian.

Beliau berkata pendekatan itu penting bagi memastikan pelabur sedia ada terus kekal melabur di negeri ini selain menarik lebih ramai pelabur asing dan domestik baharu.

“Kerajaan negeri komited untuk memelihara kepentingan pelabur sedia ada tetapi pada masa sama mengalu-alukan pelabur-pelabur yang berpotensi untuk melabur di Johor.

“Kita akan memberikan perkhidmatan yang baik kerana pihak berkuasa tempatan (PBT) juga komited untuk memberikan kerjasama termasuk agensi-agensi kerajaan bagi membantu pelabur baharu,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Majlis Bandaraya Iskandar Puteri di sini, hari ini.

Menurut Mohd Izhar, kerajaan negeri juga bersedia membantu mempermudahkan urusan para pelabur asing masuk ke Johor menerusi laluan pintas atau “Fast Track” di Tambak Johor dan Laluan Link Kedua.

“Ini kerana sekarang, kita bukan sahaja bersaing dengan negeri-negeri lain tetapi juga perlu bersaing dengan negara jiran dalam menarik pelabur asing yang berkualiti untuk melabur ke negeri ini,” katanya.

Laluan Hijau Timbal Balik (RGL) sebelum ini diumumkan kerajaan pusat sebagai inisiatif untuk membenarkan rakyat Malaysia dan Singapura melakukan perjalanan rentas sempadan Malaysia-Singapura bagi perjalanan rasmi dan urusan perniagaan yang penting.

Bernama

Share this post

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

scroll to top