SHAH ALAM, 26 OKT: Hatrik Safawi Rasid membawa Johor Darul Ta’zim (JDT) ke pentas perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 selepas menewaskan tuan rumah Selangor 3-0 dalam perlawanan separuh kahir kedua di Stadium Shah Alam, malam tadi.
Kemenangan JDT dengan agregat 5-1 meranapkan impian Selangor untuk mara meskipun JDT hanya membawa bekalan gol tipis 2-1 selepas perlawanan separuh akhir pertama di Stadium Larkin, minggu lalu.
Skuad Harimau Selatan dilihat melakukan serangan pantas apabila melakukan dua percubaan dalam tempoh empat minit selepas aksi memasuki minit ke-20 menerusi percubaan Safawi yang diselamatkan Khairul Azhan Khalid.
Penjaga gol Selangor sekali lagi diuji namun percubaan jarak jauh Gonzalo Cabrera berjaya ditepis keluar pada minit ke-23.
Namun serangan JDT, melalui Afiq Fazail yang melorongkan satu hantaran yang gagal dipintas Michal Nguyen sampai kepada Safawi dan beliau berjaya menewaskan Khairul Azhan untuk gol pembukaan pada minit ke-24.
Sebaik separuh masa kedua bermula menyaksikan skuad bimbingan Benjamin Mora terus melakukan asakan ke kubu lawan sebelum Safawi bijak menyempurnakan hantaran Diogo Luis untuk gol kedua pada m-46.
Safawi terus menghukum kealpaan benteng Selangor apabila menyumbat gol ketiga pada minit ke-51 untuk menjadikan kedudukan 3-0.
Keadaan pasukan tuan rumah seolah-olah serba tidak kena apabila setiap serangan dipatahkan JDT sekaligus menyaksikan tiada gol tambahan sehingga tamat perlawanan.
Johorkini